Ahli Parlimen BN digantung selepas kaitkan abu suci dan abu mayat Chin Peng

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertikam lidah di Dewan Rakyat hari ini.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat selepas mempersoalkan jika abu suci (vibhuti) di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) ada kaitan dengan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bertanya Rayer jika abu di dahinya ialah abu mayat Chin Peng.

“Saya hendak tumpang tanya, abu itu adakah abu Chin Peng atau apa?” soal Tajuddin.

Beliau terus bertanyakan Rayer berhubung abu suci di dahinya ketika perbahasan di Dewan Rakyat bertukar kepada isu penahanan 12 individu yang didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Saya tidak mahu Jelutong (Rayer) dituduh pakai abu (mayat) Chin Peng dekat dahi itu,” katanya.

Rayer kemudian memberitahu Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, tindakan Tajuddin ialah satu penghinaan kepada penganut Hindu.

“Ini adalah menghina orang-orang Hindu. Saya minta Pasir Salak (Tajuddin) minta maaf kerana beliau menghina orang-orang Hindu di Malaysia. Saya minta tarik balik kenyataan itu.”

Rayer mendapat sokongan Sivakumar Naidu (PH-Batu Gajah) yang bersetuju kenyataan Tajuddin itu ialah penghinaan kepada penganut Hindu.

Tajuddin kemudiannya menarik balik kenyataan itu selepas diasak beberapa ahli Parlimen beragama Hindu yang lain.

“Okeylah, tarik balik. Tarik baliklah, apa ada masalah?”

Perbalahan berlaku lagi selepas Shahidan Kassim (BN-Arau) menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk Rayer ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, kerana mendakwa ahli Parlimen DAP itu mengelirukan Dewan dengan menuduh BN anti-penganut Hindu.

Rayer berkata, beliau bukannya menuduh ahli Parlimen BN anti-penganut Hindu, tetapi Tajuddin daripada blok pembangkang yang bertindak menghina penganut Hindu.

“Beliau sudah memohon maaf, jadi tidak perlu menarik balik. Kenapa saya perlu tarik balik sedangkan kenyataan itu dikeluarkan Tajuddin?” soalnya.

Ia disusuli Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(6) berhubung sangkaan jahat terhadap mana-mana ahli Parlimen.

“Tadi Pasir Salak (Tajuddin) saya percaya ada membuat satu kenyataan terhadap Jelutong (Rayer) bahawa abu yang dipakai Jelutong itu adalah abu Chin Peng atau berkaitan komunis.

“Ini adalah kenyataan melampau. Kenyataan itu menghina, saya minta satu keputusan daripada speaker Dewan Rakyat,” katanya yang mempersoalkan pendirian wakil rakyat MIC berhubung kenyataan Tajuddin.

M Saravanan (BN-Tapah) berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan individu atau ahli Parlimen membangkitkan isu agama.

“Tetapi, apa yang disebut Pasir Salak (Tajuddin), saya tidak ada dalam Dewan Rakyat,” kata Saravanan.

Ariff memutuskan untuk menggantung Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) selama 2 hari.

Tajuddin digantung kerana mengganggu urusan Dewan, manakala Khoo pula disebabkan beliau tidak mematuhi arahan speaker.

“Ini sudah keterlaluan, Kota Melaka dan Pasir Salak saya arahkan keluar (Dewan Rakyat). Kota Melaka kerana tidak mengikut arahan speaker, semua hendaklah bertindak mengikut peraturan mesyuarat,” kata Ariff.

Abu suci dihasilkan daripada kayu istimewa yang dibakar dengan minyak sapi dan herba lain menggunakan api suci.

Ini adalah kontroversi kedua di Dewan Rakyat membabitkan ahli Parlimen BN dalam tempoh seminggu.

Pada 27 Nov lalu, bekas menteri persekutuan, Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mengeluarkan kata kesat “P ***** k” kepada Rayer yang menggelarnya “bodoh” dalam satu pertikaian mengenai catatan Facebook yang mengkritik Sultan Selangor.

Noh kemudiannya menarik balik kenyataan itu, tetapi mendakwa beliau tidak sedar menyebut perkataan berkenaan.

Ambil tindakan terhadap Tajuddin

Sementara itu, kira-kira 20 ahli Parlimen kerajaan bercadang mengusulkan Dewan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap Tajuddin.

“Jelas sekali kenyataannya boleh cetus ketegangan kaum. Pasir Salak (Tajuddin) seharusnya diambil tindakan yang tegas untuk jaga imej Dewan.

“Tidak patut ada kenyataan sedemikian dalam Dewan Rakyat,” kata Khoo di lobi Parlimen.

Katanya, beliau turut akur dengan arahan speaker yang menggantungnya 2 hari, walaupun tindakannya tadi untuk mempertahankan maruah dan kemuliaan Dewan Rakyat.

Ramkarpal berkata, mereka akan berbincang dengan parti sama ada akan mencadangkan tindakan lanjut kepada Dewan Rakyat.