Dr M beri amaran ahli PPBM peralat parti demi manfaat diri

Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Pemuda PPBM di Shah Alam malam tadi.

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad memuji sumbangan Pemuda dan Wanita PPBM kepada parti itu, tetapi beliau turut menegur sesetengah individu dalam badan induk yang lebih berminat mengukuhkan pengaruh sendiri.

Pengerusi PPBM itu memberi amaran kepada ahlinya untuk mengelak memperalatkan parti demi kepentingan politik sendiri, sebaliknya mereka perlu berjuang untuk parti bagi memastikan semua mendapat manfaat.

“Ini adalah masalah kalau kita fikir bahawa parti beri kita peluang untuk capai matlamat diri. Saya yakin, jangan kata diri kita dapat kemenangan, (tetapi) parti juga akan kalah.

“Sebab itu apabila kita sertai parti politik, harus diingat perjuangannya adalah perjuangan parti, bukan untuk diri sendiri,” kata perdana menteri ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemuda PPBM malam ini.

Beliau berkata, sayap Pemuda ialah kunci untuk memacu PPBM ke depan dengan idea dan harapan bagi parti serta negara.

“Jika kita berjuang untuk parti, kita akan merasa nikmatnya. Semasa dalam parti, kita seharusnya mengikis sikap pentingkan diri sendiri.”

Beliau turut menggesa Pemuda PPBM bekerja bersungguh-sungguh untuk membiayai program sendiri berbanding bergantung kepada dana luar.

“Saya rasa ia adalah bagus untuk anjur makan malam kumpulan dana, tetapi jika kita cukup kaya, kita tidak perlukan ini. Kita boleh biaya semua perbelanjaan kita sendiri, ia dapat bantu kita bebaskan diri.”