Hasil perbincangan isu ambil alih PLUS dibentang pertengahan Disember

KUALA LUMPUR: Hasil perbincangan antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan berhubung isu pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan hala tuju tol di negara ini dijangka dibentangkan kepada Kabinet pertengahan bulan ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, setakat ini mesyuarat pertama antara ketiga-tiga kementerian itu diadakan pada minggu lepas, manakala mesyuarat kedua akan diusahakan dalam masa terdekat.

“Kita sudah mengadakan satu (mesyuarat), mereka (pegawai ketiga-tiga kementerian) akan berjumpa lagi. Selepas itu, setelah semua itu (isu PLUS dan hala tuju tol di seluruh negara) dibincangkan, akan ada satu memorandum yang akan dibentangkan, diangkat kepada Kabinet berdasarkan keputusan (bersama) ketiga-tiga kementerian.

“Jadi ini akan dilakukan dengan sekejap, kita menyasarkan pertengahan bulan ini, kalau boleh. Itu perkembangan setakat ini, untuk sementara waktu, mesyuaragt ini hanya antara ketiga-tiga kementerian berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 hari ini.

Menurutnya lagi, setakat ini kerajaan menerima 5 tawaran bagi mengambil alih konsesi lebuh raya PLUS.

Terdahulu, Baru dalam ucapan aluannya ketika perasmian HPTN 2019 berkata, tenaga kerja yang didorong oleh teknologi boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi secara global dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, Malaysia harus memastikan penggunaan teknologi berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) selain memperkasakan keupayaan K-Ekonomi (Knowledge Economy) dalam kalangan rakyat supaya pembangunan negara akan dapat dipacu dengan lebih pesat lagi.