Hidangan enak Cina Muslim di Golden Valley, menangi baucar

Restoran Cina Muslim yang mengutamakan konsep halal bagi pelanggan beragama Islam.

Malaysia sebuah negara yang unik, kaya dengan masyarakat yang berbilang bangsa.

Maka sebab itu terlalu banyak konsep makanan yang cuba diketengahkan bagi memenuhi permintaan dan selera setiap orang di Malaysia.

Antara konsep makanan yang wajib ada ialah sajian Melayu, Cina dan India namun terdapat juga makanan yang berkonsepkan dari negara lain seperti Thailand dan Korea yang kini semakin mendapat sambutan.

Bagaimanapun jika anda teliti pasti anda tidak pernah menjumpai restoran makanan laut masakan Cina Muslim di mana-mana pusat membeli-belah kerana yang ada hanya restoran Cina Muslim di deretan kedai sahaja.

Atas dasar itu, pemilik restoran Golden Valley, Ying Chua mengambil peluang keemasan dengan membuka sebuah restoran di pusat membeli belah, Melawati Mall.

Jika dilihat elemen santai yang digunakan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Golden Valley, pasti sesiapa sahaja akan terpesona dengan sentuhan pada dekorasi dengan memilih padanan warna tanah, serta susunan pasu porselin di setiap penjuru restoran menandakan restoran ini menyajikan menu masakan Cina.

Memilih untuk lari daripada kebiasaan dekorasi restoran Cina yang lain, Ying Chua memilih untuk mengutamakan ketenangan dan gaya santai bagi pengunjung.

Pemilihan perabot dan susunan hiasan memberi nilai tambah kepada gaya elegan yang ditonjolkan.

Lebih istimewa hiasan pasu dibawakan khas dari Jindezhen, Bandar Porselin di China.

Beroperasi sejak 2014 bermula di TTDI dan kini beralih ke Melawati Mall, Golden Valley boleh diiktiraf antara restoran yang terbaik dalam penyediaan makanan Cina halal di Kuala Lumpur.

Popular dengan hidangan chili crab, kam heong dan hidangan salutan telur asin antara menu yang sering mendapat sambutan.

Amat menitikberatkan elemen halal dalam setiap hidangan, menurut Ying Chua setiap bahan mentah yang digunakan dijamin halal, demi memenuhi kepuasan pelanggan beragama Islam.

Pemiliknya, Ying Chua berkata pelanggan boleh merasai makanan “signature” Cina halal di restoran ini.

Berasal dari Sungai Petani, Kedah membesar dalam persekitaran masyarakat Melayu membolehkannya memahami persoalan halal haram dalam penyediaan makanan.

Malah sejak daripada itu, beliau menyimpan hasrat untuk membuka sebuah restoran masakan Cina bagi memberi peluang kepada masyarakat Melayu merasai keenakan dan “signature” masakan Cina.

“Disebabkan saya mempunyai ramai kawan berbangsa Melayu, jadi memang banyak permintaan untuk merasai sendiri hidangan unik bangsa Cina versi halal.

“Jadi saya dan suami mengambil inisiatif membuka restoran yang menyediakan hidangan halal. Walaupun bahan asas telah diubah, namun kami sedaya upaya mengolah resepi agar rasanya tidak lari daripada yang asal.

“Golden Valley ini juga adalah alternatif bagi masyarakat Cina yang telah memeluk agama Islam untuk merasai kembali hidangan autentik Cina yang halal,” katanya kepada FMT.

Baru sahaja beroperasi sekitar empat bulan di Melawati Mall, namun pelanggan yang hadir bagi Ying Chua begitu menggalakkan.

Ying bersama suami dan barisan pekerjanya yang juga terdiri daripada Orang Asli.

Malah katanya restoran ini mampu menempatkan 150 orang pelanggan dalam satu masa dengan kekuatan 20 orang staf termasuklah 10 daripadanya adalah daripada masyarakat Orang Asli.

“Kalau kita tengok, jika ingin makan masakan Cina yang halal, mereka akan pergi ke hotel, harganya juga kita sedia maklum, mahal.

“Tetapi masih tidak ada restoran masakan Cina yang halal di dalam pusat membeli belah, jadi saya buat untuk rakan-rakan Melayu merasai makanan yang ada di sini. Pada saya di sini juga lebih strategik kerana majoriti penduduk di sekitar Melawati merupakan Melayu “Urban”.

“Jadi kalau mereka nak cari restoran cina yang halal dalam pusat membeli belah, Golden Valley satu-satunya pilihan yang mereka ada,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ying Chua berkata, pengalamannya mengendalikan tiga restoran di Shanghai China sebelum ini memberi kelebihan kepadanya dalam menguruskan restoran di Malaysia.

‘Kung Po Chicken Yam Basket’ antara hidangan signature yang sukar di jumpai di restoran lain.

“Di sini anda boleh merasai sedikit kelainan yang susah untuk anda jumpa di tempat lain iaitu ‘Kung Po Chicken Yam Basket’. Ia merupakan makanan tradisi orang Cina ketika majlis perkahwinan dan antara hidangan ‘signature’ di sini.

“Mempunyai hirisan kecil ayam dan gajus yang diletakkan di dalam keladi yang digoreng kelihatan seperti sarang burung berbentuk bulat, dimasak dengan rasa masam-masam manis,” katanya lagi.

‘Crispy Salmon Skin with Salted Egg Yolk’ merupakan pembuka selera yang sering mendapat permintaan tinggi.

Bagi pelanggan yang ingin merasainya, anda boleh mencuba “Crispy Salmon Skin with Salted Egg Yolk” iaitu kulit ikan salmon yang digoreng garing serta disaluti telur asin, membuatkan ia rangup ketika anda mengunyahnya.

Hidangan ini anda boleh nikmati bersama-sama empat hingga lima orang dengan harga RM24.20 sahaja.

Ikan patin yang dimasak stim bersama sos tiram.

Bagi penggemar ikan patin, rasainya di sini di mana ikan tersebut akan dimasak bersama sos tiram.

Anda pasti akan merasa kesegaran ikan patin itu apabila dimakan bersama nasi putih malah hanyir ikan tersebut juga sama sekali tidak terasa.

‘Fresh Water Prawns Chef Special Sauce’ dimasak dengan resepi tersendiri.

Antara menu lain yang tidak patut anda lepaskan peluang adalah “Fresh Water Prawns Chef Special Sauce” di mana udang yang dihidangkan besar dan berbaloi dengan harga, apatah lagi keenakan sosnya yang masam manis membuatkan anda pasti berasa tidak cukup jika hanya seekor yang anda makan.

Hidangan ketam juga salah satu signature di Golden Valley, “Chili Crab” bukan sahaja pedas, namun rasa masam manisnya cukup lengkap sebaik sahaja masuk ke mulut anda.

‘Chilli crab’ juga antara hidangan ‘signature’ Golden Valley.

Disajikan bersama dengan roti “Mantau” kelembutannya sangat terasa sebaik sahaja ia digigit dan dicicah bersama dengan sos cili yang dimasak khas bersama ketam tersebut.

Selain itu, “Marmite Crabs” dimasak dengan sos istimewa yang dibuat sendiri oleh chef, turut membuatkan anda tersenyum dengan keenakan rasanya.

Dan bagi peminat “Peking Duck”, Golden Valley akan mula menyajikan hidangan “signature” ini kepada pelanggan yang mahu merasai kerangupannya.

Hidangan ‘Pecking duck’, kulitnya dimakan bersama kepingan telur, salad dan sos ‘Read bean’.

Ia dihidangkan menggunakan sekeping telur dadar yang digoreng nipis seperti kulit popiah, sapukan sos “red bean”, letak timun dan bawang kemudian baru letak kepingan kulit itik garing diatasnya, balut dan makan!

Cara ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan ia sangat sedap. Anda perlu mencubanya hanya di Golden Valley!

“Golden Valley sebuah nama yang sinonim di mana ia diibaratkan seperti emas di dalam lembah, jadi kita mengharapkan ‘keuntungan’ dan ‘kemewahan’ ini berada di dalam takungan lembah yang kita namakan di restoran ini.

“Inilah uniknya di Golden Valley, kami membawa masakan Cina halal untuk semua, Melayu, Cina dan India, pekerja kami juga orang asli, saya rasa tidak ada restoran dalam pusat membeli belah yang mempunyai konsep seperti kami,” ujarnya lagi.

Pemerhatian FMT mendapati ramai pelanggan yang hadir di restoran tersebut adalah dalam kalangan Melayu.

Dan bagi salah seorang pelanggan yang hadir, Irdayani Ismail menyatakan yang restoran tersebut mempunyai banyak pilihan makanan dan ia dihidangkan pada kuantiti yang banyak.

Antara pelanggan Melayu yang berkunjung ke Golden Valley.

“Saya pertama kali masuk sini, memang tak pernah mencubanya sebelum ini, tapi hari ini saya datang makan Cantonese kuey Teow Beef sangat sedap dan dihidangkan dalam jumlah yang banyak, berbaloi dengan harga,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Sanni Chin berkata idea dan konsep Golden Valley ini sangat unik dan ia mampu menarik pelanggan pelbagai bangsa selain makanan yang disajikan memenuhi citarasa sesiapa sahaja.

“Kalau begini cara yang dihidangkan, memang boleh pergi jauh,” katanya ringkas.

Bagi mereka yang ingin mencuba boleh berkunjung ke restoran seperti alamat dibawah:

Golden Valley
L3-18 &19
Jalan Bandar Melawati, Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur

Berita baik kepada pembaca FMT Ohsem, restoran Golden Valley menawarkan baucar untuk empat pemenang bertuah.

Anda hanya perlu layari laman sosial Facebook FMT Ohsem atau laman sosial Instagram dan jawab soalan disediakan:

  1. Hidangan Crispy Salmon Skin with Salted Egg Yolk boleh dimakan berapa orang dan berapa harganya?
  2. Namakan dua jenis hidangan “signature” di Golden Valley.
  3. Saya mahu merasai makanan di Golden Valley kerana…

Tarikh tutup penyertaan ini pada 17 Disember 2019.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]