Kerajaan sasar 60% pelajar pilih TVET, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menyasarkan peningkatan sehingga 60% pelajar memilih Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mewujudkan kepakaran dalam bidang perindustrian.

Perdana menteri berkata, statistik terkini menunjukkan 44% pelajar memilih aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Sejarah membuktikan negara kita telah berjaya berubah daripada sebuah negara yang bergantung kepada pertanian kepada yang berpaksikan bidang perindustrian.

“Penyumbang utama kepada kejayaan ini adalah profesion teknikal,” katanya dalam video yang disiarkan ketika perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 di sini, hari ini.

Mahathir menerusi ucapan itu berkata, di negara maju, profesional teknikal memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

Beliau memberi contoh 7 daripada 10 syarikat besar di Jerman yang bernilai €170 bilion ialah syarikat berasaskan teknikal seperti ICT, telekomunikasi dan automotif.

Katanya, negara terbabit sentiasa menekankan inovasi dan penghasilan teknologi terkini sehingga menjadi antara negara yang paling banyak mendaftarkan paten antarabangsa.

“Perkembangan global terkini khususnya Revolusi Industri 4.0 atau ringkasnya RI 4.0 berpaksikan teknologi terkini yang menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan lebih pantas, pintar dan dinamik,” katanya.