Mahkamah Persekutuan tangguh dengar rayuan petisyen Parlimen Jasin

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan calon Pakatan Harapan, Khairuddin Abu Hassan berhubung petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum lepas bagi kerusi Parlimen Jasin.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed yang mempengerusikan sidang 5 hakim membenarkan penangguhan yang dipohon peguam Khairuddin, Gopal Sri Ram yang meminta tarikh penangguhan singkat kerana beliau terlalu letih untuk meneruskan rayuan hari ini.

Awal hari ini, Sri Ram mempunyai kes lain di Mahkamah Persekutuan.

Azahar mengarahkan rayuan itu ke pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu, sambil menambah ketua hakim negara akan memutuskan panel hakim.

Garis masa bagi mahkamah untuk menyelesaikan rayuan pada 26 Dis.

Terdahulu, peguam Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Ahli Parlimen Jasin Ahmad Hamzah, meminta agar Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah mengundurkan diri daripada mendengar kes berkenaan atas alasan beliau mempengerusikan kes berkaitan sebelumnya.

Pada 18 Feb lepas, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Wong membenarkan rayuan Khairuddin dan menghantar petisyennya kembali ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan.

Petisyen Khairuddin ditolak pada Oktober tahun lepas oleh Mahkamah Pilihan Raya, yang membenarkan bantahan awal Ahmad.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan Khairuddin hari ini terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyennya serta satu lagi rayuan yang difailkan oleh Ahmad dari Barisan Nasional (BN) berhubung bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar perbicaraan.

Hakim lain ialah Abang Iskandar Abang Hashim, Nallini Pathmanathan dan Vernon Ong Lam Kiat.

Pada Jun lepas, Mahkamah Pilihanraya di Melaka menolak petisyen Khairuddin untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya tahun lepas bagi kawasan Parlimen Jasin batal dan tidak sah.

Pada PRU14 lepas, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan 3 penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin yang memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas memohon perintah supaya keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa calon BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baru perlu diadakan.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya Zamrud Yahya serta Suruhanjaya Pilihan Raya.