Mahu lihat saya jadi PM di usia 100 tahun, seloroh Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan sokongan terhadap pindaan perlembagaan yang menghadkan tempoh pemerintahan perdana menteri selama 2 penggal.

“Saya berusia 94 tahu. Anda mahu lihat saya menjadi perdana menteri pada usia 100?” selorohnya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong dijangka membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pindaan itu jika lulus akan menetapkan tempoh jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dihadkan kepada 2 penggal sahaja.

Sementara itu, Mahathir menyifatkan cadangan melantik ahli Parlimenn Port Dickson Anwar Ibrahim sebagai menteri tugas khas, sekadar pandangan peribadi.

Ini susulan kenyataan wartawan veteran A Kadir Jasin yang meminta Mahathir merombak Kabinet susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Itu pendapat dia, (semua orang) bebas suara. Sesiapa boleh buat cadangan.

“Saya dengar semua pendapat orang, tak semua saya setuju. Rombakan Kabinet, kebebasan bersuara, kamu boleh tanya.

“Apa saya rasa, saya fikir, saya simpan untuk diri saya sahaja,” katanya.