Rusia tolak permintaan Belanda serah suspek tembak jatuh MH17

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 yang membunuh 298 penumpang termasuk anak kapal. (Gambar Reuters)

AMSTERDAM: Rusia menolak permintaan Belanda untuk menyerahkan suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di mana ia melanggar undang-undang Eropah, kata pendakwa pada Isnin.

Volodymyr Tsemakh, warga Ukraine, dikenal pasti sebagai suspek oleh Belanda, berhubung insiden pada 17 Julai 2014 yang membunuh 298 penumpang termasuk anak kapal. Dua pertiga penumpang adalah warga Belanda.

MH17 ditembak jatuh di wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine ketika ia terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Penyiasat berkata peluru berpandu yang menembak pesawat itu dilancarkan dari sebuah briged anti-pesawat Rusia, tetapi Moscow menafikan terbabit dalam nahas itu.

Tsemakh dicari oleh Belanda sebagai suspek, tetapi tidak termasuk 4 lelaki – 3 warga Rusia dan seorang Ukraine – yang akan dibicarakan secara absentia di mahkamah Belanda pada Mac atas tuduhan membunuh kerana menembak jatuh pesawat itu.

“Perkhidmatan Pendakwaan Awam membuat kesimpulan bahawa Rusia secara rela mengizinkan Tsemakh meninggalkan Persekutuan Rusia dan enggan melaksanakan permintaan Belanda. Walaupun di bawah Konvensyen Eropah mengenai Ekstradisi, ia diwajibkan berbuat demikian,” kata pihak pendakwaan dalam satu kenyataan.

Rusia tidak mengekstradisi warganya sendiri, tetapi pendakwa Belanda berkata tidak ada halangan dalam hal ini kerana Tsemakh adalah warga Ukraine.

Pendakwa Belanda masih belum menentukan sama ada mahu mendakwa Tsemakh atau tidak.

Tsemakh, yang dikenal pasti perkhidmatan keselamatan Ukraine sebagai bekas komander pasukan pemisah disokong Rusia di timur Ukraine, dipindahkan ke Rusia dalam pertukaran tahanan antara Moscow dan Kiev pada September.

Pendakwa Belanda berkata mereka meminta Moscow menangkap Tsemakh dan menyerahkannya kepada Belanda untuk disoal siasat, namun menerima notis pada 19 Nov bahawa Rusia tidak dapat mematuhinya kerana keberadaan Tsemakh tidak diketahui.