RUU sekat keluar negara jika tak bayar caruman KWSP dibentang

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang memperkenalkan sekatan keluar negara ke atas mana-mana pihak yang tidak membayar dan menjelaskan caruman tertunggak.

Ia memasukkan nota bahu “menghalang orang daripada meninggalkan Malaysia tanpa membayar caruman” dalam Seksyen 39 akta berkenaan, yang menyatakan ketua pegawai eksekutif KWSP boleh mengeluarkan perakuan kepada ketua polis negara atau ketua pengarah imigresen untuk melarang mana-mana orang daripada meninggalkan Malaysia dalam hal keadaan tertentu.

Butirannya pindaan itu menyatakan jika CEO KWSP boleh mengeluarkan perakuan jika mempunyai sebab untuk percaya mana-mana orang hendak atau mungkin akan keluar negara tanpa membayar mana-mana caruman yang tertunggak atau kena bayar.

“Suatu perakuan yang mengandungi butir-butir mengenai orang itu dan caruman yang tertunggak dan kena dibayar dengan permintaan supaya orang itu dihalang daripada meninggalkan Malaysia, melainkan jika dia membayar caruman yang tertunggak,” katanya.

Salinan yang dilihat FMT itu juga menyebut individu berkenaan boleh mengemukakan jaminan sehingga memuaskan hati CEO bagi pembayarannya sebelum keluar negara.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah membentangkan RUU itu, yang mengandungi 11 pindaan, untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini.