Selepas ‘hilang’ di Sarawak, Baru Bian beri bayangan hadir Kongres Nasional PKR

Baru Bian ketika sidang media sempena Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019.

KUALA LUMPUR: Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian memberi bayangan akan menghadiri kongres nasional parti itu yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Ia selepas Baru bertindak memboikot konvensyen negeri pada 23 November lalu yang dihadiri Presidennya Anwar Ibrahim.

“Jangan risau kamu boleh jumpa saya Ahad ini (di Kongres Nasional PKR),” katanya ringkas ketika sidang media sempena sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2019 bertempat di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur.

Baru yang juga menteri kerja raya dalam masa sama enggan menjawab persoalan berkaitan politik sebagai menghargai sambutan Profesion Teknikal Negara 2019.

“Kalau politik saya tidak tahu, hari ini hari bersejarah (sambutan profesion teknikal negara), jangan kaburi dengan isu politik, isu hari ini kena beri keutamaan dahulu,” katanya.

Kongres Nasional PKR tahun ini yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Dis di Melaka merupakan acara utama parti reformasi itu yang akan dihadiri semua pimpinan termasuk Anwar.

Sebelum ini, Baru dan beberapa pemimpin negeri tidak menghadiri Konvensyen PKR Sarawak yang dihadiri Anwar.

Pada 18 November lalu, Majlis Pimpinan PKR Sarawak yang diketuai Baru mengambil keputusan membatalkan konvensyen itu berikutan rasa tidak puas hati dengan cara kepimpinan parti menyelesaikan isu jemputan perasmian Kongres Nasional Pemuda.

Isu itu menjadi kontroversi susulan pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang juga menteri Hal Ehwal Ekonomi, seterusnya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution memaklumkan konvensyen itu akan diteruskan memandangkan ia sudah diputuskan dalam mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR.

Terbaru, beberapa pemimpin kanan PKR dilaporkan sedang berunding dengan Anwar dan Azmin yang bertelagah supaya parti itu tidak berpecah menjelang kongres tersebut.

Semalam Anwar memaklumkan hampir 80% perwakilan menyatakan persetujuan untuk hadir kongres, selain menegaskan pemimpin parti itu diberi ruang untuk berbicara pada kongres berkenaan.