Umno akui sukar menang PRK Kimanis, Warisan ada kelebihan tadbir Sabah

Bung Moktar Radin berkata, Umno akan menggunakan kekuatan ahli akar umbi dan rakyat untuk memenangi PRK Kimanis.

PETALING JAYA: Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengakui parti itu berdepan cabaran sukar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kerana Warisan mempunyai kelebihan sebagai pemerintah negeri berkenaan.

Beliau berkata, Umno akan menggunakan isu semasa dan kegagalan parti pemerintah menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu untuk berdepan Warisan.

Katanya, Warisan, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), DAP, PKR dan PPBM tidak membawa sebarang perubahan serta tiada hala tuju untuk membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Pertandingan ini agak sukar, tapi kami yakin tidak ada yang mustahil apabila rakyat turut serta menolak parti pemerintah yang banyak menipu rakyat.

“Umno sedar hampir 2 tahun Warisan dan gabungan DAP serta PKR gagal memberi perubahan kepada rakyat Sabah dan kerajaan campuran,” katanya kepada FMT hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Umno akan menggerakkan kekuatan ahli akar umbi dan rakyat untuk memenangi PRK Kimanis.

“Kami berharap rakyat jelata, khususnya pengundi di Kimanis akan turut bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan kemenangan dan memberi tekanan kepada Warisan.”

Terdahulu, Presiden Warisan, Shafie Apdal hari ini dilaporkan berkata, satu mesyuarat akan diadakan bersama rakan PH sebelum membuat keputusan berhubung calon PRK Kimanis, ia memberi bayangan calon Warisan akan bertanding di kerusi itu.

Ini kerana katanya, calon Warisan bertanding kerusi itu pada PRU14.

Kerusi Kimanis kosong selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman pada PRU14 tidak sah dan terbatal.

Pada PRU14, Anifah memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi dalam pertandingan 3 penjuru, selepas mendapat 11,942 undi berbanding Karim Bujang daripada Warisan yang meraih 11,786 undi dan calon Parti Harapan, Jaafar Ismail yang memperoleh 1,300 undi.

Semalam, Bung dilaporkan berkata, Umno Sabah memutuskan untuk mempertahankan kerusi Kimanis sebelum kes Anifah didengar di Mahkamah Persekutuan dan 2 atau 3 calon sudah disenarai pendek untuk bertanding di kerusi itu.