Isteri Yazid Sufaat tak kisah diekori polis selepas suami bebas tahanan ISA

Chomel Mohamad kini mengusahakan sebuah restoran di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Isteri seorang bekas tahanan yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan, tidak kisah dirinya dan keluarga diekori polis selepas suaminya, Yazid Sufaat dibebaskan pada November lalu.

Chomel Mohamad, 55, berkata beliau menasihati Yazid tidak terlalu tertekan selepas polis mengarahkannya mematuhi beberapa syarat, antaranya perlu mendapat kebenaran sekiranya berhasrat keluar dari Ampang iaitu kawasan kediamannya.

“Saya tidak peduli jika ada polis yang datang untuk memerhati, bagus jugalah kerana ada pengawal keselamatan yang mengikuti saya.

“Saya beritahu Yazid, kawasan Ampang ini besar, sampai ke Kuala Langat sana, jadi masih okey,” katanya sewaktu ditemui FMT.

Selepas dibebaskan, polis menggunakan peranti pemantauan elektronik (EMD) bagi memantau pergerakan Yazid selama 2 tahun serta perlu mendapat kebenaran polis sekiranya ingin keluar dari kawasan Ampang.

Yazid juga tidak dibenarkan keluar rumah mulai 8 malam hingga 6 pagi serta dilarang memiliki akses internet.

Ditanya apakah rutin harian Yazid sejak dibebaskan, Chomel memberitahu suaminya sering ke masjid berhampiran kawasan perumahannya dan merancang bercucuk tanam.

Beliau juga meminta Yazid mencari pelanggan di sekitar Ampang bagi membantu perniagaan katering yang diusahakannya.

Yazid mula menjadi perhatian umum selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 8 tahun kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan militan. Kemudian, Yazid ditahan semula pada 2013 dan dipenjarakan selama 4 tahun di Perak.

Episod sama terus berulang, apabila Yazid sekali lagi ditahan pada 2017 selama 2 tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) kerana dituduh merekrut rakan tahanannya untuk menyertai militan al-Qaeda ketika berada dalam tahanan di Perak.

Yazid Sufaat dipenjarakan 3 kali sepanjang 17 tahun lepas kerana kegiatan berkait keganasan. (Gambar Facebook)

Sejak itu, stigma masyarakat terhadap Yazid dan keluarganya mula berubah kerana ada yang khuatir pembebasannya lebih memudaratkan.

Bagaimanapun, peguam yang pernah mewakili Yazid menjelaskan terdapat salah faham membabitkan anak guam mereka.

Amer Hamzah Arshad, New Sin Yew dan Joshua Tay dalam satu kenyataan sebelum ini menekankan tuduhan berkaitan aktiviti keganasan terhadap Yazid belum dibuktikan di mahkamah sehingga kini.

Menurut mereka, Yazid dipenjarakan di bawah ISA tanpa sebarang perbicaraan di mahkamah, manakala tuduhan yang mengaitkan Yazid merekrut tahanan pula digugurkan Jabatan Peguam Negara.

Namun, Yazid kemudiannya dituduh dan mengakui bersalah kerana tidak memberikan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kegiatan keganasan.

Terdahulu, media antarabangsa dan tempatan melaporkan, Yazid yang merupakan lulusan sains biologi dan kimia dari California State University di Amerika Syarikat disyaki terbabit dengan suspek pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.

Bagaimanapun, Chomel tetap yakin semua pertuduhan terhadap suaminya hanyalah salah tanggapan.

“Jika anda tahu siapa dia (Yazid), dia adalah lelaki yang baik.”

Hilang arah selepas suami ditahan 

Mengimbau pengalaman lalu, Chomel mengakui beliau hilang punca apabila suaminya ditahan pihak berkuasa, namun tetap mengingatkan dirinya untuk terus cekal demi anak-anak.

“Kekuatan itu datangnya dari Allah, saya memang tidak kuat. Saya perlu bangkit demi anak-anak, takkanlah kesedihan yang saya lalui akibat kehilangan suami hingga perlu melibatkan anak-anak. Suami berada di dalam (penjara), itu tidak mengapa.

“Saya teruskan kehidupan, lakukan apa sahaja yang berada dalam kawalan saya, seperti anak-anak. Saya harus lihat dari sudut positif, jadi sementara saya berada di luar, saya perlu jaga kesihatan diri kerana jika saya sakit, maka anak-anak juga akan terjejas,” katanya.

Tambah Chomel, didikan terhadap anak tetap menjadi keutamaannya walaupun berdepan masalah kewangan selepas Yazid ditahan pihak berkuasa.

Ketika itu, katanya, tanpa bantuan mana-mana pihak, beliau membuka sebuah restoran di ibu kota.

“Saya perlu lakukan yang terbaik, walaupun saya tidak suka buat perkara itu, tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain. Maka, adalah lebih baik saya buat dan berikan sehabis baik. Walaupun sumber kewangan pada ketika itu adalah sangat teruk, sampai kena ikat perut.

“Saya beritahu anak-anak saya yang saya akan lakukan apa-apa sahaja untuk mereka.

“Namun, saya hanya minta satu perkara, iaitu berikan saya keputusan ‘A’ dalam setiap subjek peperiksaan. Memang anak-anak bekerja keras untuk belajar.”

Penat lelah Chomel membuahkan hasil apabila anak sulungnya kini ialah doktor pakar dan anak kedua bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak.

Katanya, anak ketiganya bekerja sebagai ahli kimia di sebuah syarikat swasta dan anak keempat sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan.