Kami tak layan lobi untuk projek jambatan, kata CM Sarawak

Abang Johari Openg berkata, perancangan dan pelaksanaan program pembangunan negeri perlu mencerminkan integriti penjawat awam.

KUCHING: Projek pembinaan jambatan di Sarawak yang berharga berbilion ringgit dikendalikan secara telus melalui sistem tender terbuka, kata Ketua Menterinya, Abang Johari Openg hari ini.

“Hanya beberapa minggu lalu kami melancarkan pembinaan Jambatan Batang Rambungan, dan sebelum itu kami melancarkan Jambatan Kuala Kemena dan Jambatan Batang Lasa.

“Yang akan dilancarkan tidak lama lagi ialah Jambatan Batang Saribas, Jambatan Batang Krian dan Jambatan Batang Paloh,” katanya sambil menambah tender projek pembinaan Jambatan Batang Lupar akan dibuka tidak lama lagi.

Beliau berkata, semua projek pembinaan jambatan itu yang berharga berbilion ringgit akan dilaksanakan melalui tender terbuka dan kerajaan negeri pimpinannya yang sentiasa berusaha ke arah tadbir urus telus serta baik tidak akan melayan tindakan melobi.

“Rakyat akan menilai integriti dan kredibiliti kami berdasarkan keupayaan kami untuk memastikan projek yang kami janjikan dilaksanakan mengikut bajet dan siap tepat pada waktunya,” katanya ketika melancarkan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2019 di sini.

Abang Johari berkata, perancangan dan pelaksanaan program pembangunan seharusnya mencerminkan integriti penjawat awam.

“Penjawat awam bukan sekadar bekerja untuk memanaskan kerusi atau hanya menunggu diarahkan. Mereka diharapkan dapat membantu merancang dan melaksanakan program pembangunan untuk manfaat rakyat.

“Ada masalah, teknikal atau sebaliknya, yang mungkin timbul ketika pelaksanaan projek, tetapi kami mesti mahir menyelesaikannya dan mencari jalan segera untuk melakukan pembetulan sewajarnya bagi menggantikan masa yang dibazirkan.”

Beliau berkata, penempatan pegawai integriti bertauliah di setiap kementerian dan jabatan kerajaan di negeri itu tidak memadai untuk membasmi rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, penjawat awam perlu memastikan diri tidak terlibat dalam rasuah dan menyalahgunakan kuasa mereka.