Lebih 90,000 pemandu e-hailing lulus ujian PSV, kata menteri

Loke Siew Fook berkata, seramai 42,818 calon gagal mendapat lesen PSV sehingga 2 Dis lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seramai 91,978 pemandu perkhidmatan e-hailing mendapat lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sehingga 2 Dis lalu, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pemandu yang gagal ujian PSV lebih 3 kali akan diberi kelonggaran, termasuk dibenarkan menjalani ujian secara lisan.

“Walaupun 42,818 calon gagal, tetapi angka ini adalah angka kumulatif dan kebanyakan mereka telahpun mengambil semula peperiksaan dan sebahagiannya lulus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai bilangan pemandu e-hailing yang berjaya dan gagal mendapat lesen PSV serta saingan dengan pengangkutan awam lain.

Loke berkata, sehingga kini terdapat 358,944 pemegang lesen PSV aktif, termasuk pemandu bas dan 28,860 pemandu teksi.

Mengenai nasib pemandu teksi selepas pemandu e-hailing diberikan lesen lesen PSV, Loke berkata, pemandu teksi juga boleh menggunakan aplikasi e-hailing untuk mencari pelanggan.

“Pemandu teksi ada pilihan selain menjadi pemandu teksi secara tradisional, mereka boleh menggunakan sistem e-hailing dan mereka boleh guna 2 sistem ini menggunakan kenderaan sama.”