Pembangkang Sabah rancang bertemu Anifah

Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan berkata pembangkang mahu tahu adakah Anifah Aman akan bertanding di Kimanis.

KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin pembangkang Sabah dijangka bertemu Anifah Aman untuk mengetahui rancangan bekas menteri luar itu mengenai pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan berkata antara intipati perjumpaan itu ialah untuk memastikan sama ada Anifah kembali bertanding atau tidak kerana tidak mahu berlaku pertembungan antara satu sama lain.

“Kami tidak mahu bertembung dengan Anifah dan memecahkan undi Kimanis. Kami akan mempunyai idea yang lebih baik selepas kami berunding dengannya,” kata Jeffrey.

Beliau tidak menyebut mana-mana pemimpin namun sumber mengatakan mereka daripada Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang diketuainya, dan Parti Progresif Sabah (Sapp), yang diketuai bekas ketua menteri Yong Teck Lee.

Gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bertanding di kerusi Kimanis atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), yang diketuai bekas Adun Klias, Lajim Ukin tetapi tewas.

Lajim kemudian meninggalkan GBS dan membubarkan Harapan untuk menyertai PPBM Sabah pada bulan April.

Ditanya sama ada STAR akan menarik diri daripada pertandingan itu jika Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding di Kimanis, seperti yang berlaku pada PRK Sandakan pada Mei, Jeffrey berkata ia bergantung kepada keputusan Anifah.

Sementara itu, Yong berkata SAPP akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi esok untuk membincangkan perkara itu.

“Selepas kami membuat keputusan, kami akan berunding dengan pihak lain dalam GBS,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Henrynus Amin memberitahu pihaknya masih belum memutuskan untuk meletakkan calon, atau mungkin sekadar memberi sokongan kepada salah satu parti yang bertanding.

Bekas setiausaha agung PBS itu enggan menyatakan parti mana yang akan disokong, mengatakan ia bergantung kepada calon yang bertanding.

Ketua Penerangan Parti Kebangsaan Sabah Bersaty (Usno), Musli Oli berkata parti itu akan mengadakan menyuarat majlis tertinggi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, Warisan berkata kerusi itu “tidak boleh dirunding” dan Presiden Shafie Apdal dijangka menamakan calon pada waktu yang sesuai.

Warisan mempunyai perjanjian perkongsian dengan Pakatan Harapan PH serta Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Pada PRU-14, Warisan meletakkan Karim Bujang sebagai calon di Kimanis dan memperoleh 11,786 undi, 156 undi kurang daripada Anifah yang bertanding atas tiket Umno.

Anifah kemudian meninggalkan parti untuk menjadi bebas.

Karim mencabar keputusan pilihan raya, yang kemudiannya membawa kepada keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini iaitu kemenangan Anifah batal dan tak sah.