Ponteng solat hal peribadi, kata kumpulan peguam

Lawyers for Liberty berkata, Islam ialah agama penuh belas kasihan, adil dan sederhana.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) membidas hukuman penjara dan denda ke atas 6 lelaki di Terengganu yang ponteng solat Jumaat, dengan berkata kerajaan negeri tidak patut campur tangan dalam hal peribadi.

“Sudah sampai masanya mempertimbangkan rasional melaksanakan hukuman penjara dan denda hanya kerana tidak bersolat Jumaat dan kesalahan sama.

“Dakwaan kegagalan menunaikan solat Jumaat ialah hal peribadi yang negeri itu tidak patut kawal atau campur tangan,” kata penyelaras undang-undang LFL, Zaid Malek dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Mahkamah Syariah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda lebih RM2,000 kepada 4 dewasa dan 2 remaja.

Mereka ditangkap bermandi di tempat perkelahan popular di air terjun Sekayu pada 23 Ogos lalu dalam kes yang dipercayai pertama di Malaysia.

Zaid berkata, tindakan demikian mungkin dianggap tidak wajar oleh sesetengah umat Islam, tetapi hukuman jenayah adalah keterlaluan dan bukan cara untuk menangani isu itu.

Beliau turut membandingkan satu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini, kerajaan sedang mengkaji semula sistem perundangan untuk menjadikan hukuman lebih bersifat pemulihan berbanding menghukum.

“Islam ialah agama penuh belas kasihan, adil dan sederhana. Berdasarkan semangat prinsip Islam ini, kami menggesa menteri meneliti perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin.”

Majlis Peguam turut mengkritik hukuman itu sebagai “tegas dan keterlaluan”, dengan presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, keadilan perlu diringankan dengan belas kasihan.