Azmin: PKR mesti padu seperti Batu Gibraltar demi PH

AYER KEROH: Ucapan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di perasmian kongres Wanita dan Pemuda PKR malam ini menyentuh tentang “zeitgeist” dan betapa perlunya kepaduan PKR dikekalkan demi Pakatan Harapan.

Mengenang sejarah 20 tahun partinya, Azmin berkata satu aspek yang merentas sejarah adalah tanggungjawab anak muda dan wanita membangun naratif Malaysia Baru yang jitu, berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan, kesederhanaan dan keterangkuman.

“Dari sebuah gerakan rakyat yang menggembleng kekuatan anak muda dan wanita seperti kalian, kita membidankan PKR untuk melancarkan gerakan reformasi,” katanya di acara yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

“Malaysia Baru tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit, sebaliknya Malaysia Baru menuntut kita untuk berpegang kepada prinsip yang luhur, sederhana serta merai dan mendapat kepelbagaian.”

Wanita dan Pemuda PKR akan mula bersidang esok, diikuti kongres nasional pada Sabtu dan Ahad.

Azmin memberitahu ahli parti bahawa PKR mesti padu seperti Batu Gibraltar demi kestabilan dan ketahanan gabungan pemerintah, yang juga dianggotai PPBM, DAP dan Amanah.

“Bekerjasama dengan semua rakan kongsi dalam pakatan yang hebat ini, kami akan terus berusaha untuk maju dan reformasi untuk negara,” katanya.

Beliau akui, PKR, sebagai sebuah parti yang rencam dan majmuk, pasti akan berdepan cabaran dan perbezaan pandangan, tetapi ia boleh ditangani dengan semangat persaudaraan, saling hormat-menghormati, dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi.

“Kami akan muncul lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya.