Bekas ahli PKR nafi dalang sidang media, tuduhan ‘perbuatan keji’ terhadap ahli politik

Bekas ahli PKR nafi dalang sidang media, tuduhan ‘perbuatan keji’ terhadap ahli politik

Badrul Hisham Shaharin ada bertemu Yusoff Rawther namun sekadar untuk mendengar cerita.

Badrul Hisham Shaharin pada sidang media hari ini.
HULU KELANG:
Seorang bekas ahli PKR menafikan dia dalang sidang media seorang lelaki yang mengkritik pihak berkuasa semalam berhubung tindakan ke atas laporan polis terhadap setiausaha politik Anwar Ibrahim.

Badrul Hisham Shaharin mengesahkan dia ada bertemu lelaki berkenaan, Muhammed Yusoff Rawther, namun sekadar untuk mendengar ceritanya.

Menurut Badrul, Yusoff menghubunginya bulan lepas untuk ajak berjumpa.

“Jadi kami jumpa dan dia ada jumpa beberapa ahli politik lain juga. Selepas itu saya beritahu dia kalau dia yakin benar, ambillah tindakan undang-undang, buat akuan sumpah. Setakat itu sahaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Reaksi ini menyusuli komen di media mengenai suatu akuan berkanun yang dikatakan dibuat oleh Yusoff.

Badrul berkata Rawther ada menghubungi beberapa kali selepas pertemuan itu, mendakwa lelaki itu “agak marah” dengannya kerana dia tidak mahu terlibat.

“Kepada Yusoff, kalau kamu yakin kamu benar, saya cabar kamu buatlah laporan polis,” katanya.

Semalam, Yusoff, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya, pada satu sidang media mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.

Dia bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini menuduh Farhash menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.

Semalam, Farhash mendakwa sidang media oleh Yusoff itu didorongi Badrul, mengatakan ia satu usaha untuk mencemarkan imej parti oleh “seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan”.

“Sepatutnya Farhash telefon saya dulu tanya apabila dapat maklumat tersebut, bukan terus buat kenyataan,” kata Badrul.

Dia juga mendakwa Farhash menghubunginya pagi tadi melalui WhatsApp untuk meminta maaf dan berbincang.

“Memang ada kawan-kawan termasuk peguam saran saya ambil tindakan undang-undang. Saya akan umumkan dalam tempoh 24 jam ini jika ada tindakan susulan saya nak ambil,” kata Badrul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.