Belanda tawar bantuan siasat pembunuhan Ivana Smit

Ivana Smit ditemui mati pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari unit di tingkat 20, CapSquare Residence. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Belanda meneruskan usaha memberi bantuan kepada polis Malaysia dalam menyiasat kes model warganegaranya Ivana Smit, yang meninggal dunia dalam keadaan misteri pada 2017.

Timbalan ketua misi di Kedutaan Belanda, Christoph Prommersberger, berkata pegawai Belanda bertemu dengan pegawai polis Malaysia di Kuala Lumpur pada Rabu.

“Kami menawarkan sokongan pakar Belanda untuk membuka semula siasatan,” menurut ciapan Twitter Prommersberger.

Smit ditemui mati di CapSquare Residence di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari unit kondominium di tingkat 20, yang dimiliki pasangan warga Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almaz.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, manakala Johnson mahupun Almaz tidak hadir pada inkues dalam menentukan kematiannya, walaupun mereka mempertahankan bahawa mereka tidak bersalah dalam wawancara dengan tabloid British.

Timbalan ketua misi di Kedutaan Belanda Christoph Prommersberger (kiri) dan pegawai Belanda ketika pertemuan dengan pegawai polis Malaysia pada Rabu. (Gambar Twitter)

Mahkamah Tinggi baru-baru ini mengarahkan kes itu dibuka semula, setelah keterangan ahli patologi Belanda, Dr Frank van der Goot bahawa Johnson dan Almaz, mungkin terbabit dalam pergelutan sebelum kematian Smit.

Sejak itu, polis berkata mereka akan menyiasat kes tersebut sebagai pembunuhan di bawah Kanun Keseksaan.