Kongsi gelap: Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ didenda RM5,000

Seow Chau Pen dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 3 tahun atau maksimum denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)

KULAI: Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah menjadi seorang anggota pertubuhan kumpulan kongsi gelap Geng 24 atau Geng Leng Hor, Okt lepas.

Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, Seow Chau Pen, 52, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Seow yang juga dikenali sebagai “Datuk Sunny Coco” didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulai, Jalan Indahpura 4, kira-kira 11.10 pagi, 11 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 3 tahun atau maksimum denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, terdapat seorang lelaki, iaitu Seow, mengaku dirinya seorang ahli kongsi gelap Geng 24 atau Leng Hor menerusi 1 video berdurasi 7 minit 38 saat yang tular pada laman sosial, di mana pertubuhan itu menyalahi undang-undang dan menggugat keselamatan.

Hasil siasatan polis, didapati Seow kemudian mengaku dirinya lelaki dalam klip video berkenaan.

Timbalan pendakwa raya Nurhayati Muhammad Fathullah memohon mahkamah menetapkan hukuman berat terhadap Seow dengan mengambil kira faktor kepentingan awam kerana video tersebut mendatangkan kegusaran ketenteraman awam.

Peguam Wong Cheer Feng dalam rayuan, memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama Seow, dia tidak memiliki rekod jenayah serta mempunyai reputasi baik dalam kalangan masyarakat.

Sharifah Maleeha kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara 3 bulan jika denda tersebut gagal dibayar.

“Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kamu (Seow), namun, ketulenan video berkenaan tidak disahkan oleh pakar, maka, dengan itu kamu didenda RM5,000 dan jika gagal bayar dipenjara 3 bulan,” kata Sharifah Maleeha.

Tertuduh kemudian membayar wang denda RM5,000 berkenaan.