Korea Selatan lancar satelit geopegun pertama di dunia, pantau alam sekitar

Satelit pelbagai guna Geostationary Environmental Monitoring Spectrometer (GEMS) dilengkapi sensor utama yang berupaya mengesan habuk halus dan 20 jenis pencemar udara termasuk ozon, sulfur dioksida dan formaldehid. (Gambar Korea Aerospace Research Institute)

SEOUL: Korea Selatan hari ini melancarkan satelit geopegun pertama di dunia untuk memantau alam sekitar yang berupaya mengesan pergerakan debu halus dan bahan pencemar udara lain di rantau Asia Timur dalam masa nyata.

Satelit dikenali Chollian-2B seberat 3.4 tan itu, dijadual dihantar ke orbit dari Guiana Perancis pada Februari 2020, akan berada di kedudukan 36,000 kilometer di atas Khatulistiwa, lapor agensi berita Yonhap memetik Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI).

Satelit pelbagai guna Geostationary Environmental Monitoring Spectrometer (GEMS) itu dilengkapi sensor utama yang berupaya mengesan habuk halus dan 20 jenis pencemar udara, termasuk ozon, sulfur dioksida dan formaldehid.

GEMS mempunyai teklonogi 2 hingga 3 tahun lebih ke hadapan berbanding sensor sama yang dibangunkan untuk kegunaan angkasa oleh Amerika Syarikat dan Eropah. Ia mampu mengawasi satu wilayah sehingga kira-kira 5,000 kilometer panjang dan lebar 8 kali setiap hari, kata KARI.

“Sistem spektrometer menjadikan Korea Selatan pencetus dalam bidang ini serta meningkatkan keupayaan negara itu mengesan pelbagai jenis pencemaran sekali gus membolehkannya memainkan peranan penting dalam pemantauan udara global,” kata pengarah program satelit itu, Choi Jae-dong.

Maklumat yang dikumpulkan dapat membantu penyediaan ramalan cuaca yang lebih tepat dan membolehkan Seoul bekerja dengan pihak lain untuk mengurangkan pencemaran di rantau ini.

Tambah beliau, satelit itu juga dilengkapi dengan warna canggih Geostationary Ocean Color Imager-2 (GOCI-2), yang boleh memeriksa blum alga dan bahan pencemar air yang lain.

GOCI-2 dapat mengawasi kawasan seluas kira-kira 2,500 kilometer dengan diameter 10 kali setiap hari.

Resolusi optik yang digunakan pada Chollian-2B 4 kali lebih tajam berbanding sensor yang digunakan Korea Selatan sebelum ini.

Ia menjadikannya lebih mudah untuk mengesan alga merah dan hijau serta dapat memberi amaran awal dengan lebih cepat ke kawasan yang mungkin terjejas.

Selain itu, sensor yang dikemas kini itu dapat memudahkan proses pemeriksaan perubahan kualiti air laut, juterus membolehkan pengurusan perikanan yang lebih baik.

KARI berkata, jika semua perancangan mengikut jadual, satelit itu dijangka menghantar semula data yang berkaitan dengan laut bermula Oktober tahun depan dan maklumat atmosfera pada tahun berikutnya.

Kerajaan Korea memperuntukkan 386.7 bilion won (AS$324 juta) untuk projek Chollian-2B, yang bermula pada 2011.

Kementerian itu berkata, kitaran hayat satelit adalah 10 tahun, sama seperti Chollian-2A yang dilancarkan pada 2018 dari pusat angkasa lepas di Amerika Selatan.