Mahkamah Switzerland kekal keputusan LTTE bukan organisasi jenayah

Mahkamah tertinggi Switzerland membebaskan 12 orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

PETALING JAYA: Mahkamah tertinggi Switzerland mengekalkan keputusan sebelum ini bahawa Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bukan sebuah organisasi jenayah dengan membebaskan 12 orang tertuduh yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara (OAG) tahun lalu.

Selepas siasatan yang mengambil masa selama sembilan tahun, OAG menghadapkan mereka ke mahkamah atas tuduhan mengumpul dana untuk kumpulan militan yang kini tidak lagi beroperasi menerusi Jawatankuasa Penyelaras Tamil (WTCC) yang berpusat di Switzerland antara 1999 dan 2009.

Bagaimanapun, pada Jun 2018, Mahkamah Jenayah Persekutuan mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan LTTE dan WTCC, dan tiada bukti mencukupi untuk mempertimbangkan LTTE sebagai kumpulan jenayah di bawah undang-undang negara itu.

OAG mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu pada April lpeas, tetapi Mahkamah Agung Persekutuan mengekalkan keputusan tersebut kelmarin, dan menyebut bahawa LTTE tidak dianggap sebagai organisasi jenayah sewaktu dana dikumpul.

Laporan terdahulu menyatakan bahawa 12 orang dituduh menghantar 15 juta franc Swiss (RM63.4 juta) kepada LTTE dengan mengumpul wang daripada komuniti Sri Lanka di Switzerland, dengan mereka didakwa menakutkan dan menekan mangsa untuk memberi sumbangan tersebut, menurut kenyataan mahkamah.

Wang itu dikatakan disalurkan melalui institusi di Malaysia dan Singapura sebelum digunakan oleh LTTE untuk membeli senjata di Sri Lanka, yang menyaksikan kumpulan itu terperangkap dalam perang saudara selama beberapa dekad..

Sementara itu di Malaysia, 12 lelaki ditangkap bulan lepas di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau Sosma, atas tuduhan mempunyai kaitan dengan LTTE.

Antara lain, mereka dituduh terlibat dalam plot untuk memulihkan LTTE. Kesemua mereka bagaimanapun menafikan dakwaan itu.