Nancy, Nga perang mulut selepas diminta tarik balik tuduhan ‘pengemis tamak’

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Hari terkahir persidangan Dewan Rakyat hari ini tegang seketika berikutan perang mulut antara timbalan speaker, Nga Kor Ming dengan Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong).

Kekecohan berlaku apabila Nga membaca keputusan yang dibuat speaker, Mohamad Ariff Md Yusof terhadap Nancy atas kesalahan membuat sangkaan jahat terhadap ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kerana menuduh menteri kewangan itu menghina rakyat Sarawak sebagai “pengemis yang tamak” dalam satu kenyataan beliau pada 14 Okt lepas.

Berikutan keputusan itu, speaker meminta Nancy menarik balik tuduhan ke atas Lim kerana gagal mengemukakan bukti kukuh, termasuk mengemukakan keratan akhbar Sarawak yang melaporkan kenyataan menteri itu menyebut perkataan “pengemis yang tamak”.

“Batang Sadong diminta menarik balik tuduhan terhadap YB Bagan yang dikatakan menghina rakyat Sarawak sebagai ‘pengemis yang tamak’,” kata Nga ketika membacakan keputusan berdasarkan peraturan tetap mesyuarat.

Nancy bagaimanapun memaklumkan beliau akan membuat keputusan menarik balik kenyataan itu selepas dibenarkan membuat penjelasan sambil mempersoalkan ketiadaan Lim dalam Dewan Rakyat ketika keputusan dibuat.

Nga bagaimanapun tidak membenarkan Nancy membuat penjelasan.

“Tidak bolehkah saya pertahankan diri?” soal Nancy.

Nga kemudiannya berkata, Nancy sudah diberi masa yang cukup untuk membuat penjelasan secara bertulis dan ia tidak perlu diulangi di Dewan Rakyat kerana beliau gagal memberi sebarang bukti salah laku Lim seperti didakwa.

“Berlaku adillah kepada saya. Saya hanya akan tarik balik kenyataan kalau YB menteri (Lim) memohon maaf kepada rakyat Sarawak dengan apa yang dinyatakan,” kata Nancy, sambil mempersoalkan layanan tersebut setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji melakukan tranformasi di Parlimen sedangkan beliau tidak diberi ruang membuat penjelasan.

Nancy berkata, beliau hanya mahu memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Nga kemudian meminta Nancy tidak membuat tuduhan tidak berasas, sebaliknya perlu menarik balik kenyataannya sebelum ini.

“Jangan buat fitnah, rakyat Sarawak beri mandat kepada YB bukan untuk buat fitnah,” kata Nga.

Keadaan semakin panas apabila Nancy sekali lagi bangun dan mempersoalkan fitnah yang dikatakan dilakukan Lim.

“Tapi menteri buat fitnah tidak mengapa?,” soalnya sambil menegaskan beliau akan menarik balik kenyataanya terhadap Lim dengan syarat.

Nga kemudian meminta Nancy supaya tidak keras kepala dan perlu menunjukkan sikap baik sebagai bekas seorang menteri.

“YB jangan berkeras kepala, sikap ini tidak menunjukkan peribadi sebagai mantan menteri.

“Tiada syarat, ini bukan pasar malam boleh tawar menawar. Ini dewan yang mulia, institusi negara,” katanya.

Sikap tegas Nga itu dipersoal oleh wakil pembangkang lain yang menyifatkannya sebagai perbuatan memaksa Nancy.

“Mana boleh paksa tarik balik,” kata beberapa wakil pembangkang yang bangun mempertahankan Nancy.

Selepas beberapa minit perang mulut antara Nancy dan Nga, bekas menteri undang-undang itu akur dengan arahan supaya menarik balik kenyataannya.

“Kalau itulah dijadikan petua dalam dewan Parlimen ini, saya akur atas sebab saya terpaksa tarik balik,” katanya.

Pada 14 Okt, ketika berbahas di Dewan Rakyat, Nancy membidas komen Lim mengenai ketidakpuasan hati ahli Parlimen dari Sarawak terhadap peruntukan kepada negeri itu dalam Belanjawan 2020 yang didakwa telah melabel negeri itu sebagai “pengemis yang tamak”.

Ketika itu Nancy berkata, Sarawak bukannya susah untuk berpuas hati selepas menerima peruntukan negeri kedua terbesar dalam Belanjawan 2020, tetapi “tahu dan sedar di mana hak kita yang perlu dituntut”.

“Jumlah peruntukan RM9.6 bilion atau 17.1% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan 2020, daripada jumlah tersebut, Sarawak dan Sabah masing-masing hanya mendapat RM4.4 bilion dan RM5.2 bilion,” katanya.

“Adakah wajar rakyat Sarawak dihina sedemikian rupa? Saya sedia maklum menteri memang tiada sedikit timbang rasa terhadap Gabungan Parti Sarawak, tetapi adakah sanggup menteri hina rakyat Sarawak dengan belanjawan mungkir janji seperti ini?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020.

Nancy turut mendakwa ucapan Lim itu disiarkan menerusi akhbar di negeri itu.

Pada 15 Okt, Lim menafikan tuduhan tersebut dan meminta Nancy menarik balik dakwaan tersebut.