Pakar tolak teori negara maju Dr M

PETALING JAYA: Pakar sosiologi dan ekonomi menolak teori Dr Mahathir Mohamad bahawa jurang pencapaian antara kaum adalah antara sebab Malaysia gagal mencapai status negara maju.

Bercakap kepada FMT, pakar sosiologi Denison Jayasooria berkata, ketaksaksamaan yang meluas juga wujud di negara maju lain, manakala ahli ekonomi Ramon Navaratnam berkata, banyak negara, khususnya negara Barat yang maju, memiliki masyarakat berbilang kaum.

Mereka mengulas kenyataan Mahathir semasa perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Isnin lalu.

Jayasooria, felo di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, ketaksaksamaan sosial dan ekonomi sebenarnya merupakan isu utama dalam ekonomi negara maju.

Malah katanya, masyarakat dengan etnik homogen atau seragam seperti Jepun dan Korea Selatan juga mempunyai ketaksaksamaan mereka sendiri.

“Justeru ketaksaksamaan semata-mata bukanlah petunjuk sama ada sesebuah negara itu maju atau tidak,” katanya.

“Bagaimanapun peluang yang sama dan pengurangan ketaksaksamaan adalah petunjuk utama hasil daripada usaha peningkatan sosio-ekonomi.

Beliau juga berkata, perlu disedari bahawa Malaysia juga mempunyai kelompok kaya dalam kalangan semua kaum dan bahawa ia perlu melihat kepada pemboleh ubah lain seperti perbezaan luar bandar dan bandar, jurang kaya dan miskin bandar, pendapatan dan tahap pendidikan, pemilikan kekayaan, jantina, kecacatan dan umur.

“Malaysia terlalu fokus kepada petunjuk etnik dan kaum, dan banyak langkah intervensi disasarkan dari sudut pendekatan etnik,” katanya.

Beliau berkata, perlu wujud taksiran bebas terhadap semua program intervensi sektor awam bagi membantu orang Melayu dan komuniti Bumiputera yang miskin.

Navaratnam, yang merupakan pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia berkata, kepelbagaian kaum merupakan aset kepada mana-mana negara dan Malaysia sepatutnya membenarkan individu berbakat semua kaum untuk berkembang bagi menghalang mereka daripada mencari peluang di tempat lain.

Beliau berkata, pendapatan perkapita di Malaysia pada masa ini adalah bersamaan AS$10,000, sedangkan Bank Dunia mendefinisikan negara maju dengan pendapatan perkapita sekurang-kurangnya AS$12,376 pada tahun 2018.

“Sesetengah rakyat Malaysia tidak dapat mencapai pendapatan ini kerana kekurangan peluang, pendidikan, kemahiran dan kemudahan untuk memperbaiki diri mereka,” katanya.

Sementara itu, Abu Sofian Yaacob, pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau bersetuju dengan Mahathir bahawa terdapat jurang ekonomi antara kaum di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, kepelbagaian kaum juga berpecah belah disebabkan jurang dalam hubungan sosial, dan kerajaan perlu menanganinya dengan memupuk cara berfikir bahawa mereka adalah rakyat Malaysia.

Beliau berkata, terdapat juga banyak jurang lain antara rakyat, seperti jurang gaji asas.

Beliau berkata, untuk mencapai tahap negara maju, semua jurang itu perlu ditutup.

“Bayangkan tayar yang banyak bocor. Menampal satu kebocoran sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Tayar akan terus kehilangan angin.”