Pegawai perubatan kontrak berpeluang dilantik tetap, kata Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan lantikan kontrak berpeluang dilantik secara tetap, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Tawaran akan dibuat sekiranya terdapat kekosongan jawatan dan memenuhi syarat, tambahnya.

“Pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang dilantik secara kontrak bagi tujuan menjalani latihan siswazah dan atau khidmat wajib di Kementerian Kesihatan boleh dipertimbangkan untuk lantikan tetap dengan tarikh dikebelakangkan, tertakluk kepada memenuhi syarat dan kekosongan jawatan.

“Kerajaan akan melantik bakat terbaik yang memenuhi syarat skim perkhidmatan serta memenuhi syarat yang ditetapkan oleh ketua perkhidmatan tertakluk kepada kekosongan jawatan tetap,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching).

Beliau meminta menteri menyatakan proses dan prosedur sistem kontrak tetap yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi dan apakah kelayakan yang diambil kira untuk pelantikan tetap.

Dzulkefly berkata, penilaian bagi tujuan pelantikan tetap akan dibuat sepanjang 2 atau 3 tahun dalam tempoh kontrak itu oleh pegawai penilai di setiap penempatan.

“Semua permohonan lantikan tetap disaring dan seterusnya dinilai oleh jawatankuasa pemilihan lantikan tetap di peringkat ibu pejabat kementerian mengikut profesion masing-masing bagi memastikan proses penilaian dan pemilihan dilaksanakan dengan telus dan adil.

“…cadangan pelantikan tetap seterusnya akan diangkat kepada pengurusan tertinggi kementerian (ketua pengarah kesihatan dan ketua setiausaha) untuk disahkan sebelum diperakukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi pertimbangan pelantikan tetap,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly berkata graduan perubatan dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS) secara kontrak dalam mengatasi masalah menunggu lama untuk menjalani latihan amali (housemanship).