Polis AS didakwa raba payudara mayat wanita

Seorang pegawai polis Los Angeles didakwa meraba payudara wanita yang telah meninggal dunia.

LOS ANGELES: Seorang pegawai Jabatan Polis Los Angeles disiasat selepas kamera badannya merakam dia meraba payudara wanita yang telah meninggal dunia.

Seorang jurucakap polis mengesahkan siasatan itu kepada AFP pada Rabu namun tidak menjelaskan secara lanjut butiran kes itu.

“Kami sedar tentangnya dan siasatan pentadbiran telah bermula,” kata Leftenan Chris Ramirez.

“Kami tidak boleh membincangkan kes itu kerana ia adalah hal kakitangan dan kerana isu litigasi.”

Seorang pegawai yang biasa dengan kes itu memberitahu AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata kejadian itu berlaku selepas pegawai dan rakannya menerima panggilan mengenai seorang wanita yang mungkin mati di unit kediamannya.

Setelah pasangan itu mengesahkan wanita itu telah mati, salah seorang pegawai meninggalkan bilik itu, kata pegawai tersebut.

“Orang yang dituduh itu kembali ke tempat si mati dan didakwa meraba payudaranya,” katanya.

Walaupun pegawai itu mematikan kamera badannya, penimbal 2 minit pada peranti itu merakam kejadian tersebut.

Pegawai itu berkata rakaman itu ditemui semasa pemeriksaan rawak dan maklum balas dalam kalangan kakitangan yang bercerita mengenai perbuatan jijik.

“Ia tidak ada tempat dalam penguatkuasaan undang-undang atau di mana sahaja,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Liga Perlindungan Polis Los Angeles, kesatuan yang mewakili pegawainya, berkata tuduhan itu “amat mengganggu”.

“Jika tuduhan ini benar, maka tingkah laku yang dipamerkan pegawai ini bukan hanya salah, tetapi sangat mengganggu, dan tidak selari dengan nilai-nilai kita, sebagai pegawai polis, pelihara dengan baik dan nilai-nilai ini termasuk rasa hormat buat si mati,” kata kenyataan itu.

Polis berkata, pegawai itu diberikan cuti sementara menunggu keputusan siasatan.