Selepas Utusan tutup, Umno guna media sosial dekati rakyat

Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR: Umno mengubah pendekatan dalam mendekati rakyat akar umbi, beralih kepada media sosial dan tidak terlalu bergantung kepada media arus perdana seperti Utusan Malaysia, yang suatu ketika pernah dikaitkan dengan parti itu.

Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno kini lebih memanfaatkan media sosial untuk mendekati rakyat di setiap pelusuk negara, memandangkan ia mempunyai capaian yang meluas di bandar dan kampung.

“Setiap kali kita buat siaran di Facebook, capaiannya tidak kurang daripada 200,000 hingga 300,000 tontonan,” katanya kepada pemberita selepas perbahasan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Asyraf berkata Umno mengubah pendekatannya sejak setahun lalu. “Hari ini anak muda kebanyakannya tidak bergantung kepada arus perdana.”

Umno hari ini melancarkan laman web rasmi parti berkenaan, yang disempurnakan Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Pemuda Umno juga melancarkan laman tersendiri selepas sesi perbahasan hari ini.

Ditanya apakah pandangannya mengenai liputan media sejak BN tewas pada pilihan raya umum lalu, Asyraf hanya boleh mengharapkan supaya pemberitaan yang adil dan saksama.

“Dalam dunia yang terbuka hari ini, mereka akan buat apa juga laporan mengikut minat mereka dan apa yang mereka rasa ada nilai kepada berita mereka.

“Cuma kita hanya boleh harapkan pemberitaan yang adil dan saksama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui berkata laman web rasmi itu salah satu usaha menjadikan Umno parti yang inklusif, menarik rakyat kepadanya, dan sedar Umno masih ada.

“Bukan tidak pernah fikir tetapi lupa hendak fikir. Mesti difahami, kami bukan lagi parti kerajaan, tidak boleh anggap Umno ini parti kerajaan,” katanya.

“Kalau dahulu orang banyak duduk di kampung tahu siapa ketua cawangan mereka, tetapi sekarang ini yang duduk di bandar, siapa yang mereka hendak jumpa? Jika mahu tahu mengenai Umno, mereka hanya perlu tekan,” katanya.