Siswa UM diarah beri penjelasan selepas anjur program berkaitan rusuhan Hong Kong

Liew Liang Hong (2 dari kiri) bersama sebahagian wakil Suara Siswa yang hadir pada sidang media, hari ini.

KUALA LUMPUR: Gabungan badan pelajar Universiti Malaya (UM) kesal apabila universiti itu menuntut surat tunjuk sebab selepas mereka menganjurkan program syarahan berkaitan gerakan sosial di Hong Kong dan Taiwan, bulan lalu.

Wakil Suara Siswa yang juga Presiden Persatuan Belia Baru UM (Umany), Liew Liang Hong berkata program yang berlangsung 11 November itu bukan isu sensitif atau menggugat keselamatan negara.

Liew berkata penganjuran program “Sunflower and Umbrellas Revisited Talk” melibatkan orang awam, bukannya pelajar universiti.

“Wakil UM sendiri hadir pada malam itu dan dengar sendiri syarahan diberi dalam bahasa Inggeris. Tiada langsung ‘complaint’ ketika itu.

“Tapi 2 minggu lepas itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPPUM) terima surat yang menuntut penjelasan penganjuran program itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata program itu pada awalnya dibatalkan namun Umany tetap meneruskan meskipun rakan penganjur menarik diri pada saat akhir.

Menurut surat yang dikepilkan bersama kenyataan media tersebut, kandungan surat itu menyebut MPPUM perlu memberi penjelasan susulan program dianjurkan berbeza dengan program yang diluluskan.

Surat itu juga menyebut penceramah luar yang dijemput tidak mendapat kebenaran timbalan naib canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM.

Pada program tersebut, penganjur menjemput pensyarah Jabatan Sosiologi Universiti Kebangsaan Taiwan, Ho Ming Sho.

Liew berkata kini mereka berdepan kesukaran mendapat kelulusan lokasi bagi penganjuran program ke-2 yang dirancang berlangsung esok.

“Sepatutnya esok kami buat program berkaitan nasionalisme China di sini tapi permohonan tempat kami ditolak secara lisan.

“Jadi kami terpaksa alih ke lokasi baru di Kuala Lumpur. Alasan diberi sangat tak munasabah di mana katanya, mereka tidak luluskan mana-mana program dibuat selepas waktu pejabat sedangkan sebelum ini banyak program dibuat sebelah malam,” katanya.

Pihaknya menuntut Kementerian Dalam Negeri menyiasat campur tangan pihak asing dalam urusan akademi negara selain menegaskan pihak universiti sepatutnya melindungi pelajarnya.

FMT sedang mendapatkan Timbalan Naib Canselor HEP UM, Abdul Aziz Abdul Rahman bagi mendapatkan kenyataan berhubung perkara ini.