Umno Sabah mahu selesai pelucutan hak RM1.25 juta

Umno Sabah akan menghantar surat kepada peguam negara esok bagi menyelesaikan pelucutanhak wang berjumlah RM1.25 juta.

KUALA LUMPUR: Umno Sabah sedang berusaha menyelesaikan permohonan pelucutan hak oleh kerajaan terhadap wang berjumlah RM1.25 juta yang didakwa sebagai dana 1MDB.

Timbalan pendakwa raya Mahadi Abdul Jumaat berkata kepada hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa peguam Harcharanjit Singh, yang mewakili Umno Sabah, berkata mereka akan mengemukakan surat kepada peguam negara.

“Saya telah bercakap dengan peguam itu dan mereka bercadang untuk memfailkan notis untuk menyelesaikannya.

“Saya perlu mendapatkan arahan peguam negara mengenai perkara itu,” katanya ketika kes itu didengar hari ini.

Sementara itu, Harcharanjit memberitahu mahkamah bahawa Umno Sabah akan menghantar surat kepada peguam negara esok.

Zaini kemudian menetapkan 18 Dis untuk sebutan seterusnya sementara menunggu jawapan peguam negara.

Beliau berkata, tarikh pendengaran baru akan ditetapkan jika surat itu tidak memihak kepada Umno Sabah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha mendapatkan sejumlah RM270 juta daripada 41 individu dan organisasi yang mana dana tersebut didakwa disalurkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

Pihak berkuasa mendakwa wang yang diterima Umno Sabah serta individu dan organisasi lain, adalah dana daripada aktiviti haram.