3 warga Indonesia maut dalam pergaduhan di Tampin

Polis berkata 3 mangsa yang maut adalah pekerja ladang sawit daripada syarikat berlainan yang bertandang ke rumah kongsi di Ladang Chin Fatt di Gemencheh.

TAMPIN: Tiga lelaki maut dalam pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah kongsi Ladang Chin Fatt, Gedok di Gemencheh, 12.05 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman yang mengesahkan kejadian itu berkata ketiga-tiga lelaki warga Indonesia berkenaan ditemui terbaring berlumuran darah dalam sebuah bilik tidur di rumah kongsi berkenaan oleh polis yang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas mayat ketiga-tiga lelaki itu mendapati banyak kesan luka akibat senjata tajam. Siasatan ditempat kejadian menemui sebilah sabit panjang yang mempunyai kesan darah, sebilah pisau serta beberapa kesan darah.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada 5 Dis pada pukul 10.30 malam. Ketiga-tiga mangsa adalah pekerja ladang sawit daripada syarikat berlainan yang bertandang ke rumah itu dan merupakan kenalan salah seorang penghuninya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis turut menahan 3 lelaki warga Indonesia berumur 29 dan 42 tahun di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga suspek adalah penghuni rumah kongsi berkenaan dan akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Tampin hari ini,” katanya.

Che Zakaria berkata ketiga-tiga mangsa yang maut belum dapat disahkan identiti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.

“Mayat semua mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan 2 lagi suspek lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai [email protected] dan Ari untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4411222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.