Amanah kepada bakal-bakal PM: Hanya 2 penggal sahaja

Presiden Amanah Mohamad Sabu.

SHAH ALAM: Parti Islam dalam Pakatan Harapan, Amanah malam tadi mengisytiharkan pendirian mana-mana individu yang bercita-cita menjadi perdana menteri hanya boleh berkhidmat di jawatan itu selama 2 penggal sahaja.

Presiden Mohamad Sabu berkata had jawatan perdana menteri perlu bagi menegakkan demokrasi, dan meraikan kepelbagaian, kebolehan bakat dan potensi rakyat, oleh itu Amanah akan berusaha mempengaruhi kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Siapa yang berangan nak jadi perdana menteri kena ingat ya, 2 penggal sahaja,” katanya pada pidato presiden di Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam malam tadi.

Mohamad juga menyentuh tentang komitmen Amanah menangani sikap boros ahli politik, mengatakan beliau tidak boleh faham bagaimana seorang ahli politik boleh belanja kad kredit hingga juta ringgit.

“Juta ringgit ini nak makan apa? Kalau udang galah – RM1,000. Kalau ikan kod paling mahal di luar negara – RM200.

“Sungguh kaya kau ya…nanti kau kesunyian di sana seorang diri,” katanya.