
Beliau bimbang melihat kelompok ultra etno-nasionalis menjaja naratif “Melayu terancam” sementara kelompok hiper-liberal pula membawa idea yang menghapus elemen tradisi “yang menjadi nilai teras dalam pembinaan semula negara”.
“Ingat! Sesiapa yang menyemai angin, bakal menuai badai,” katanya dalam pidato presiden sempena Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam hari ini.
Mohamad berkata naratif “Melayu terancam” sebenarnya dibina oleh kelompok ahli politik yang gagal demi mendapatkan undi.
“Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti,” katanya, dan menambah naratif itu boleh dilihat dalam isu-isu berkaitan agama, bahasa, Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.
Mohamad berkata sebahagian masyarakat pula nampaknya tidak memahami falsafah dan proses pembinaan Malaysia, menggunakan liberalisme dan demokrasi sebagai “topeng” untuk menghakis jati diri kebangsaan.
“Bercakap atas nama kebebasan dan keadilan tetapi untuk maksud keuntungan kelompoknya sahaja,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua kelompok itu seperti juga kelompok yang menggunakan agama, kaum, wilayah dan apa jua hal yang memiliki “pasaran” dan “habuan politik yang lumayan”.