Anwar minta ‘pembuat kecoh’ ketika kongres Pemuda PKR dipecat

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim meminta lembaga disiplin parti itu memecat pelaku yang bertanggungjawab dalam kekecohan sewaktu kongres Pemuda PKR pagi tadi.

Beliau juga memohon kerjasama pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya telah menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku di Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019.

“Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas,” katanya dalam satu kenyataan.

Kekecohan di kongres Pemuda PKR pagi tadi tercetus apabila bekas pengerusi tetap Mizan Adli Mohd Nor dan penyokong beliau cuba masuk ke dalam dewan persidangan selepas tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dalam surat bertarikh 27 Nov, PKR menamatkan jawatan Mizan dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap Pemuda PKR kerana berusia lebih 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka lebih banyak daripada perwakilan yang hadir dalam kongres tahun lepas.