Azmin dicabar isytihar sokong Anwar jadi PM akan datang

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Mohammad Razeef Rakimi (kiri) dan perwakilan Pemuda PKR, Mohamad Rukhairil Aizat Mohamad Maharani.

AYER KEROH: Seorang perwakilan Pemuda PKR mencabar Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan secara terbuka beliau menyokong Presiden Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan datang.

Bercakap kepada FMT selepas membahaskan ucapan dasar ketua Pemuda, Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Mohammad Razeef Rakimin berkata mereka yang tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri boleh “berambus”.

“Dalam politik, kita harus sokong presiden kita, lebih lagi beliau dipilih oleh parti-parti Pakatan Harapan untuk jadi perdana menteri kita akan datang.

“Apabila orang tidak sokong, mereka menentang parti dan mengangkat agenda sendiri,” katanya, dan menambah ahli seperti itu tidak patut berada dalam partinya.

Razeef maklum Azmin semalam berkata beliau menyokong Anwar dan parti itu akan mempertahankan presiden itu daripada dakwaan terbaharu terhadapnya.

Semalam, seorang lelaki, Muhammed Yusoff Rawther, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya.

Anwar menafikan dakwaan itu.

Razeef berkata jika Anwar benar-benar sokong Anwar, beliau harus mengisytiharkan secara terbuka beliau menyokong Anwar menjadi perdana menteri akan datang dalam ucapannya di kongres nasional.

“Kalau beliau tidak buat begitu, kenyataannya mengatakan beliau akan pertahankan Anwar daripada dakwaan-dakwaan fitnah tidak ikhlas,” katanya.

Dalam perjanjian yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, walaupun tiada garis masa ditetapkan.

Anwar menjangkakan beliau akan mengambil alih pada 10 Mei 2020 iaitu 2 tahun selepas PH mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional tetapi Azmin menyeru Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga selesai tempoh penggal ini.

Sementara itu, perwakilan Pemuda PKR Perak, Mohamad Rukhairil Aizat Mohamad Maharani menyeru pemimpin-pemimpin yang tidak menghadiri mesyuarat parti tanpa sebab-sebab yang wajar supaya meletakkan jawatan.

“Saya mencadangkan selepas ini, mana-mana orang yang tidak menghadiri mesyuarat, kita kuatkuasakan peraturan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua Pemuda.

“Lembaga disiplin gugurkan mereka dan kita lantik orang lain yang lebih layak.”

Dilaporkan beberapa pemimpin tinggi parti tidak menghadiri mesyuarat parti disebalik khabar angin mengenai perselisihan antara Anwar dan Azmin.

Rukhairil menyeru ahli memilih pemimpin berkaliber yang menyokong Anwar.