Banjir di Kelantan, Terengganu semakin pulih

Muhammad Zakaria Mat Kail, 22, (kiri) dan abangnya Ikram Shahidi, 24, (kanan) menunggang motosikal diubah suai yang mampu meredah banjir dengan lancar di Kampung Banggol, Setiu, Terengganu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu semakin pulih hari ini dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan berkurangan.

Sehingga 8 pagi tadi, bilangan mereka yang dipindahkan di Kelantan ialah 7,519 daripada 2,977 keluarga, manakala di Terengganu membabitkan 512 orang daripada 129 keluarga.

Bilangan itu berkurangan berbanding 7,595 daripada 2,998 keluarga di Kelantan dan 642 daripada 164 keluarga di Terengganu malam tadi.

Dua lagi negeri yang terjejas akibat banjir ialah Sarawak yang membabitkan 93 mangsa daripada 19 keluarga dan Johor dengan 21 mangsa daripada 4 keluarga.

Di Kelantan, aplikasi InfoBencanaJKM mencatatkan 4,733 orang daripada 1,996 keluarga yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, manakala 2,786 melibatkan 981 keluarga dipindahkan ke 7 PPS di Tumpat.

Menurut laman ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas setinggi 9.63m melepasi paras bahaya 9m, manakala Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat mencatat bacaan 2.77m melepasi paras bahaya 2.50m.

Keadaan cuaca di negeri itu mendung dengan hujan renyai di sesetengah tempat.

Di Terengganu, semua mangsa banjir kini ditempatkan di 6 PPS, iaitu 5 di daerah Kuala Nerus dan 1 di Kuala Terengganu, menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit, dekat Setiu, mencatat bacaan waspada, iaitu 10.85m melebihi paras waspada 10.5m pagi tadi.

Di Sarawak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Trusan.

Lapan kampung yang terjejas ialah Kampung Seberang Kedai Trusan, Kampung Gelapas, Kampung Perumahan Gelapas, Kampung Masjid Trusan, Kampung Luagan Kelilang, Kampung Tengah Trusan, Kampung Lintang dan Kampung Berjumpa Sundar.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon dalam kenyataan hari ini berkata, semua mangsa banjir dari Kampung Parit Betong dan Kampung Parit Abdul Rahman ditempatkan di PPS Parit Sulong, Batu Pahat.

Mereka berada di PPS di Sekolah Agama Seri Comel sejak Isnin lalu kerana rumah masih dinaiki air dan cuaca di sekitar kampung itu mendung.