FAO: Situasi keselamatan makanan Korea Utara tidak mungkin bertambah baik tahun depan

Dianggarkan 40% populasi Korea Utara iaitu kira-kira seramai 10.1 juta orang memerlukan bantuan makanan segera. (Gambar Reuters)

SEOUL: Situasi keselamatan makanan Korea Utara secara keseluruhan tidak mungkin bertambah baik tahun depan kerana pengeluaran tanaman tahun ini dianggarkan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya susulan keadaan cuaca buruk, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

“Pengeluaran tanaman makanan bermusim utama 2019 dianggarkan di bawah purata 5 tahun ekoran defisit hujan dan pengurangan bekalan air untuk pengairan pada awal tahun ini.

“Baru-baru ini, banjir tempatan telah merosakkan tanaman,” kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dalam laporan Situasi Makanan dan Prospek Tanaman yang dikeluarkan pada Khamis.

FAO juga berkata, dianggarkan sejumlah 10.1 juta orang, iaitu kira-kira 40% populasi Korea Utara, memerlukan bantuan makanan segera apabila agensi itu menjalankan misi penilaian keselamatan makanan pada April bersama Program Makanan Sedunia.

“Memandangkan jangkaan output adalah di bawah purata, situasi keselamatan makanan secara keseluruhan pada 2019/2020 dijangka tidak akan bertambah baik,” menurut laporan suku tahunan itu.

Korea Utara adalah antara 42 negara yang memerlukan bantuan makanan dari luar, bersama 7 lagi negara Asia, 32 negara Afrika dan 2 negara Amerika Latin.