Kedah terima cadangan SPRM letak pegawai di pejabat MB

Mukhriz Mahathir berkata, peranan dan tanggungjawab pegawai kanan SPRM itu akan dibincangkan kemudian antara kerajaan Kedah dan agensi anti-rasuah itu.

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menerima cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat menteri besar dalam usaha pencegahan rasuah dan menjaga integriti.

Menteri Besar, Mukhriz Mahathir berkata, persetujuan itu menepati dasar kerajaan negeri untuk memastikan semua keputusan tadbir urus negeri dilakukan dengan telus dan berintegriti.

“Peranan serta tanggungjawab pegawai berkenaan akan dibincangkan kemudian antara kerajaan negeri serta pihak SPRM, dan pegawai berkenaan akan ditempatkan di pejabat menteri besar dalam masa terdekat,” katanya selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ke-44 semalam.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semasa melakukan kunjungan hormat di pejabatnya di Wisma Darul Aman semalam.

“Mereka datang ke Kedah untuk memberi taklimat kepada kakitangan kerajaan negeri mengenai pendekatan baru yang dilakukan SPRM dalam meningkatkan tahap integriti.

“Kita telah mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara SPRM dan KFA untuk pastikan semua prosedur yang kita lakukan seperti sebelum ini memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan SPRM.”