Kenyataan lunak terhadap Syiah bukan untuk pujian, kata mufti

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor berkata, pengikut Syiah wajar diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan di tempat tertutup, selagi tidak menyebarkannya kepada umat Islam yang berpegang kepada aliran Sunnah.

PETALING JAYA : Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Mohd Noor menyifatkan kenyataannya yang menyentuh fahaman Syiah sebelum ini bukan untuk pujian, sebaliknya mahu melihat perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya hanya dengan perpaduan, kekuatan dan kemuliaan umat Islam akan terjamin, selain memartabatkan agama Islam di mata dunia.

“Pandangan yang saya kemukakan tentang hubungan 2 mazhab Islam iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWAJ) dan Syiah bukan bermaksud untuk mendapat pujian atau sanjungan mana-mana individu atau kelompok.

“Saya hanya ingin melihat perpaduan umat Islam. Realiti yang wujud pada zaman kini amat mendukacitakan. Persengketaan antara sesama sendiri merobek penyatuan dan perpaduan disebabkan sikap keakuan dan taksub,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Salim sebelum ini dilaporkan berkata, fatwa yang menetapkan mazhab Syiah sebagai fahaman sesat boleh disemak semula kerana ia tidak bersifat sakral atau suci di sisi agama.

Beliau juga berkata, pengikut Syiah wajar diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan di tempat tertutup, selagi tidak menyebarkannya kepada umat Islam yang berpegang kepada aliran Sunnah.

Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi, termasuk daripada kerajaan dan dalam kalangan mufti sendiri.

Dalam pada itu, Wan Salim mengakui masih berharap usaha mendekatkan jurang antara ahli Sunnah dengan Syiah dapat dilakukan.

“Secara peribadi saya masih mengharapkan usaha mendekatkan jurang di antara ASWAJ dan Syiah dapat digerakkan kembali, bagaimanapun pun ia memerlukan kesabaran dan usaha yang tidak mengenal putus asa.

“Jika kedua belah pihak sama-sama ikhlas dalam usaha ini maka dengan izin Allah, matlamat murni ini tidak mustahil akan tercapai juga akhirnya,” katanya.

Beliau turut mengajak para pemikir dan pemimpin umat Islam tanpa mengira mazhab dan aliran supaya menumpukan kepada aaspek persamaan berbanding perbezaan.

“Jika dikaji dengan teliti kita akan mendapati aspek persamaan antara kedua-duanya lebih banyak daripada aspek perbezaan. Kenapa kita lebih suka melihat kepada perbezaan?.

“Persoalan siapakah yang berhak menggantikan Rasulullah (sebagai khalifah) telah menjadi sejarah. Kita tidak akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang apa yang dilakukan oleh generasi terdahulu.

“Oleh itu ‘let bygones be bygones’. Marilah kita hadapi bersama realiti keadaan dunia hari ini dalam semangat persaudaraan umat serta mengharapkan pertautan kembali antara kumpulan umat yang mengalami perpecahan yang begitu lama,” katanya.