
Ditemui pemberita di Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam malam tadi, Mahfuz Omar berkata kegagalan mengisytiharkan harta merupakan penghinaan terhadap Dewan Rakyat mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).
“Mereka sudah tidak mempunyai amanah atau integriti bila gagal isytihar harta,” katanya, dan menambah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 mengikut akta tertentu dan boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Mahfuz berkata penarikan kemudahan dan pan peruntukan kawasan tidak perlu pindaan undang-undang kerana ia bawah bidang kuasa perdana menteri.
Beliau menambah sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula kemudahan yang diberikan kepada ahli Parlimen.
“Antaranya rawatan hospital, permit import untuk kereta. Kemudahan itu seharusnya ditarik balik kerana mereka tidak menunjukkan keamanahan, integriti dan ketelusan mereka,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata tiada keperluan untuk mana-mana wakil rakyat mengisytiharkan harta kerana ia hanya manifesto Pakatan Harapan dan bukan peruntukan undang-undang.
Ditanya kemungkinan beliau akan membawa cadangan ini ke Dewan Rakyat, Mahfuz berkata ia perlu dibawa oleh menteri berkaitan atau speaker Dewan Rakyat.
“Ia terserah kepada ahli Parlimen atau menteri yang bertanggungjawab mengenai Parlimen dan speaker, terpulang kepada speaker untuk kemukakan kepada kerajaan,” katanya