Mangsa gempa Lombok mohon sumbangan bina surau

2 terkorban, 44 cedera dan hampir 500 rumah musnah dalam kejadian gempa bumi Lombok, tahun lepas. (Gambar Facebook)

LOMBOK: Gempa bumi yang menggoncang Lombok, Julai tahun lepas, bukan sahaja meranapkan ribuan rumah tempat berteduh tetapi juga pelbagai bangunan lain termasuk tempat ibadat masjid dan surau.

Dusun Pengembuk di Kecamatan Tanjung, Lombok Utara, kira-kira 50km dari Kota Mataram, antara kawasan yang tidak terkecuali dilanda bencana itu yang menyebabkan Surau Al-Wahid di perkampungan berkenaan turut musnah.

Ketika ini penduduk kampung amat memerlukan pembinaan semula Surau Al-Wahid kerana selain menunaikan solat, surau itu lazimnya menjadi pusat anak kampung belajar mengaji manakala kaum ibu mempelajari ilmu keagamaan.

Ketua kampung, Juarto Sartinah, 43, berkata buat masa ini kira-kira 200 penduduk sekitar menggunakan sebuah surau sementara yang dibina daripada papan lapis, berhampiran Surau Al-Wahid yang sudah runtuh.

“Kami yang ada di Dusun Pengembuk ini sangat memerlukan bantuan daripada hamba Allah kerana surau kami yang sampai saat ini sejak gempa tahun lalu belum bisa terbangun (dibina).

“Tempat ini sangat kami memerlukan khususnya pada Ramadan. Terdapat masjid tetapi jaraknya agak jauh dari tempat ini. Kalau solat tarawih biasanya kami hanya menggunakan surau ini sahaja,” kata Juarto yang ditemui Bernama pada Misi Kemanusiaan Pasca Gempa Lombok oleh badan kebajikan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan pasar raya rakyat Econsave Cash and Carry di kampung tersebut, baru-baru ini.

Misi 3 hari bermula 30 Nov hingga 2 Dis lepas di beberapa kawasan terjejas akibat gempa bumi di Lombok itu diketuai aktivis MyCARE yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa, Muhammad Aiman Mohd Zin dan diiringi Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

Mendapat kerjasama daripada Pengurus Pelaksana Pos Keadilan Peduli Umat Indonesia (PKPU) Lombok, Dedy Aris Sandi, rombongan tersebut turut disertai Eksekutif MyCARE Johor Mohamad Saadon Suleiman, Pengerusi Rose2Rose Johor, Zalilah Ibrahim, Timbalan Pengerusi Persatuan Amal Permata Takzim (Papetta), Jamal Saian serta beberapa wakil media.

Suri rumah, Rini Karyalib, 30, amat mengimpikan pembinaan semula Surau Al-Wahid bagi membolehkan 2 anaknya yang berumur 4 dan 12 tahun belajar mengaji.

“Kami memerlukan musollah ini (Surau Al-Wahid) untuk anak-anak mengaji, kami buat solat juga di sini, dahulu musollah ini (sebelum runtuh) turut digunakan sebagai tempat akad nikah dan menunaikan solat jenazah,” katanya.

Senada dengan Rini, seorang lagi suri rumah, Nila Agustini Mahyudin, 21, berkata: “Saya sangat mengharapkan bantuan untuk memperbaiki musolla kami ini kerana dahulu sangat mudah mengaji, solat tetapi sekarang sudah rosak, kita tidak bisa menggunakannya lagi dan terpaksa menggunakan musollah darurat (surau sementara) ini,” katanya yang mempunyai 2 anak berumur setahun dan 4 tahun.

Sementara itu, Saadon berkata pembinaan semula Surau Al-Wahid dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya RM35,000 dan sumbangan orang ramai amat diharapkan untuk merealisasikan pembinaannya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi MyCARE ke akaun Maybank bernombor 5515 7500 4299, CIMB Bank bernombor 8602 135 592 atau Bank Islam bernombor 1209 2010 0349 04 atas nama “Humanitarian Care Malaysia Berhad” dan hantarkan slip bank dengan menyatakan “Sumbangan untuk Lombok” menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 018-9677215 bagi mengemas kini status sumbangan.

Terdahulu, hujan renyai menyambut kedatangan rombongan misi kemanusiaan ke perkampungan itu, namun, tidak menghalang usaha untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah kaum ibu apabila menerima “sembako” atau barangan keperluan manakala kanak-kanak diberikan pensil warna daripada Mas Imran.

Beberapa naskhah Al-Quran untuk kegunaan surau sementara turut disampaikan kepada Juarto oleh Zalilah dan seorang wakil media, Othman Mamat.