MAS perkenal tambang ulang-alik penerbangan terus KL-Singapura

Malaysia Airlines akan memberi diskaun sehingga 20% untuk tambang ulang-alik antara Kuala Lumpur dan Singapura yang baru diperkenalkan, dari 10 hingga 27 Dis ini untuk perjalanan segera hingga 30 Jun 2020.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAS) akan melancarkan pilihan tambang yang pertama untuk penumpang, dikenali sebagai tambang ulang-alik, bagi penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Singapura mulai 10 Dis ini.

Dalam kenyataan hari ini, MAS berkata tambang tersebut terbahagi kepada 3 struktur tambang iaitu “Business Flex Shuttle”, “Economy Flex Shuttle” dan “Economy Smart Shuttle”, untuk membolehkan fleksibiliti dan kemudahan lebih baik untuk penumpang yang menaiki penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Katanya tambang ulang-alik baru itu akan menggantikan Business Flex, Economy Flex dan Economy Smart dalam laluan pergi balik Kuala Lumpur-Singapura.

“Tambang ulang-alik itu menawarkan pelbagai faedah, termasuk perubahan daripada jadual asal kepada penerbangan awal pada hari sama tanpa penalti, pengecualian fi untuk perubahan tarikh atau penerbangan dan kaunter daftar masuk ulang-alik yang khusus di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Tambang ini turut termasuk elaun bagasi daftar masuk percuma sebanyak 40kg untuk Business Flex Shuttle, 35kg untuk Economy Flex Shuttle dan 30kg untuk Economy Smart Shuttle,” katanya.

Sempena dengan pengenalan itu, MAS akan memberi diskaun sehingga 20% kepada 3 kategori tambang tersebut dari 10 hingga 27 Dis ini untuk perjalanan segera hingga 30 Jun 2020.