MIC: Hasrat PAS laksana RUU 355 bukan halangan bentuk Muafakat Nasional

Presiden MIC, SA Vigneswaran.

KUALA LUMPUR: MIC tidak menganggap hasrat PAS untuk melaksanakan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan menjadi penghalang kepada penubuhan Muafakat Nasional menggantikan Barisan Nasional (BN).

Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, BN tidak menentang RUU 355, sebaliknya berjanji akan menyokong RUU berkenaan jika kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhasrat membentangkannya di Dewan Rakyat.

“Memang kita hendak bekerjasama, kita bukan hendak bekerjasama kerana hendak menang kerusi atau tidak, tetapi pada pendapat saya kita kena bekerjasama dengan PAS kerana pendapat penyokong PAS dan MIC adalah berlainan.

“Kami tidak menentang RUU 355, jika Putrajaya ingin membawanya kembali, kami akan sokong. Kami yakin Perlembagaan Persekutuan akan menjaga masyarakat bukan Muslim, tidak ada yang salah. Islam tidak ada kaitan dengan bukan Muslim,” katanya sewaktu ditemui di Perhimpunan Agung Umno, hari ini.

Terdahulu, ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pimpinan tertinggi Umno segera menginstitusikan Muafakat Nasional yang bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS, tetapi juga rakan komponen MCA dan MIC serta parti mesra BN.

Asyraf berkata, Muafakat Nasional harus menyediakan tawaran baru kepada rakyat, terutamanya berkait perkara yang menyentuh kehidupan dan untung nasib mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup harmoni di negara ini.

Vigneswaran berkata, sebagai blok pembangkang, adalah penting untuk parti pembangkang saling bekerjasama antara satu sama lain. Bagaimanapun beliau tidak yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan meluluskan gabungan Muafakat Nasional.

“Saya tidak rasa kerajaan ini akan meluluskan untuk menginstitusikan Muafakat Nasional. Saya tidak rasa ia akan didaftarkan tetapi kita tunggu dan lihat, jika ia dapat didaftarkan maka adalah lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong pula berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat andaian bahawa BN pada ketika ini sudah tidak ada. Malah, beliau turut menegaskan lebih selesa dengan “semangat” yang terkandung dalam Muafakat Nasional berbanding menginstitusikannya.

“Jangan kita buat satu hipotesis bahawa BN akan digugurkan atau dimansuhkan, tidak ada. Setakat ini tidak ada satu pucuk pimpinan BN yang menyatakan kita akan mansuhkan BN, jadi ia bukanlah satu isu. Tetapi, kalau hendak sokong semangat Muafakat Nasional, apa salahnya.

“Apa sekalipun kita kena mengambil suatu kedudukan yang realistik. Kita bukan kerajaan, kita tidak boleh kata kita hendak bentuk sesuatu pakatan dengan begitu mudah sekali. Saya tidak yakin dengan kerajaan PH, mereka akan buat apa sahaja supaya ia tidak berjaya.

“Kita boleh bekerjasama, sama macam Muafakat Nasional, semangat itu diterapkan di PRK Parlimen Tanjung Piai, kita nampak semua masing-masing, ketika itu kita tidak sebut isu kaum dan agama. Kita menyokong nilai-nilai murni dan tetap menang,” katanya.

Inisiatif Muafakat Nasional merupakan platform rasmi kerjasama antara Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 Sept lepas, sekali gus menamatkan persengketaan puluhan tahun antara 2 parti Melayu terbesar itu.