PAS, Umno bercanggah mengenai kerajaan pintu belakang

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddn Hassan dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddn Hassan hari ini menjelaskan PAS tidak mempunyai masalah untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang, suatu tindakan yang dibantah Umno yang ketika ini menjalinkan kerjasama dengan parti Islam itu.

“Seperti di Parlimen, ada pintu depan, pintu belakang dan ada juga pintu tepi. Kita boleh masuk dari mana-mana pintu, asalkan kita masuk ke pintu itu. Saya okay.

“Ia seperti bermain bola sepak, sebarang kelemahan dari pihak lawan, asalkan dapat menjaringkan gol, jadi tidak kisah,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2019, hari ini.

Kenyataan Takiyuddin itu dilihat bercanggah dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan kerjasama Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional tidak mengimpikan perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan melalui pintu belakang.

Zahid hari ini berkata, walaupun peluang itu terbuka luas ketika ini, parti itu bersama parti komponen Barisan Nasinoal (BN) akan mengikut lunas demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui Muafakat Nasional, kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas. Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

“Sementara kita bersiap menunggu PRU15, banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional,” kata Zahid merujuk pilihan raya umum ke-15.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memaklumkan Umno dan PAS kini dalam peringkat perbincangan untuk mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai suatu gabungan yang sah di sisi undang-undang.

“Kita rancang mendaftarkan Muafakat Nasional sebagai satu gabungan baru. Ia dalam proses, ia adalah gabungan baru.

“Untuk bentuk gabungan baru, kita perlu semak dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tidak boleh hanya satu parti sahaja untuk bentuk gabungan,” katanya.