PAS, Umno pertahan ahli Parlimen pembangkang tidak isytihar harta

PAS, Umno pertahan ahli Parlimen pembangkang tidak isytihar harta

Ahli Parlimen PAS percaya usul yang diluluskan di Dewan Rakyat itu tidak mengikut undang-undang dan tidak berpelembagaan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
KUALA LUMPUR:
Pemimpin PAS dan Umno mempertahankan tindakan mereka tidak mengisytiharkan harta, susulan pendedahan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Arifd Md Yusof bahawa ahli Parlimen pembangkang paling ramai tidak mengisytiharkan harta.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, ahli Parlimen PAS tidak mengisytiharkan harta kerana percaya usul yang diluluskan di Dewan Rakyat itu tidak mengikut undang-undang dan tidak berpelembagaan.

“Dari segi undang-undang, dirasakan menepati undang-undang dan berpelembagaan, tidak. Itu lebih janji dan manifesto Pakatan Harapan (PH), yang penting adalah ikhlas, kalau tidak ikhlas tidak ada maknanya,” katanya sewaktu ditemui di Perhimpunan Agung Umno, hari ini.

Semalam, Ariff berkata, hanya 160 ahli Parlimen menyerahkan borang akuan perisytiharan harta mereka kepada Dewan Rakyat, selepas tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah pada semalam.

Ariff mengesahkan ahli parlimen pembangkang paling ramai tidak mengisytiharkan harta mereka iaitu seramai 62 orang.

Daripada jumlah itu, 38 ahli parlimen dari Barisan Nasional (termasuk 36 Umno dan masing-masing 1 MCA dan MIC), 18 dari PAS, 3 dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), 1 dari Parti Reformasi Negeri (Star) di Sarawak dan 2 ahli parlimen bebas.

Menurut Ariff, hanya 3 ahli Parlimen BN, iaitu 2 dari Umno dan 1 dari MCA mengemukakan borang mereka kepada Dewan Rakyat. Semua 139 Ahli Parlimen dari PH pula sudah mengemukakan borang mereka.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri berkata, ahli Parlimen Umno khususnya tidak akan mengisytiharkan harta kerana menurutnya tidak ada undang-undang bertulis, sama ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak ada undang-undang, jadi apa yang dilakukan speaker adalah di luar undang-undang negara kita. Usul itu tidak tepat kerana peraturan Parlimen hanya boleh digunakan untuk mengendalikan mesyuarat di Parlimen. Ia bukan mengikat perkara yang berlaku di luar termasuk keluarga, ini isteri dan anak juga terikat.

“Sebab usul Parlimen hanya untuk perjalanan di Parlimen, ia melangkaui kuasa yang dibenarkan di Parlimen. Lagipun, semangat untuk mengisytiharkan harta ini dibuat untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa, menteri dan timbalan menteri saya setuju (untuk isytihar harta).

“Bagi yang tidak ada kuasa seperti pembangkang, kita tidak ada kuasa untuk meluluskan apa-apa pun, jadi kenapa takut ada penyalahgunaan kuasa untuk pembangkang atau untuk menambah harta, hingga kita perlu untuk isytiharkan harta. Tidak ada keperluan untuk isytihar harta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.