Pergaduhan di Kongres Pemuda PKR bersambung di jalanan

Keadaan di luar MiTC apabila 2 puak Pemuda PKR bergaduh di jalanan hari ini.

AYER KEROH: Sekurang-kurangnya seorang cedera apabila pergaduhan membabitkan 2 kumpulan di Kongres Nasional Pemuda PKR hari ini, berterusan ke jalanan.

Pergaduhan di luar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini menyusul selepas satu puak meninggalkan kongres itu, manakala satu lagi kumpulan mendakwa penyokongnya ialah ahli “palsu” yang dibayar untuk menghadiri kongres berkenaan.

Ahli PKR lain dilihat cuba menghentikan pergaduhan itu, yang reda seketika apabila satu daripada kumpulan itu bersurai, sebelum mereka kembali dan menuduh kumpulan lawan.

Seorang daripada ahlinya cedera di kepala akibat terkena batu yang dibaling dalam kekecohan itu.

Pegawai polis kemudiannya memisahkan kedua-dua kumpulan itu. Mereka turut membawa lelaki yang cedera itu mendapatkan rawatan.

Sementara itu, wartawan diugut sesetengah individu dalam pergaduhan itu yang memberi amaran tidak mengambil gambar atau video insiden berkenaan.

Ini menyusul pergaduhan terdahulu di dalam MiTC apabila bekas pengerusi tetap Pemuda PKR, Mizan Adli Mohd Nor dan penyokongnya cuba memasuki dewan selepas dilarang berbuat demikian.

Mizan dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad dipecat secara kontroversi bulan lalu.

Surat bertarikh 27 Nov lalu menyatakan Pemuda PKR menamatkan jawatan mereka kerana usia melebihi 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka melebihi perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lalu.

Mizan dan Ramly kemudiannya dilaporkan berkata, tidak masuk akal mempersoalkan kedudukan serta undi diperolehi mereka selepas setahun Kongres Nasional Pemuda PKR berlangsung.