Permohonan Lokman ketepi prosiding komital Jan depan

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam.

KUALA LUMPUR: Permohonan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam untuk mengenepikan perintah bagi membenarkan pendakwa raya memulakan prosiding komital terhadapnya kerana mengancam seorang saksi dalam perbicaraan 1MDB, akan didengar Mahkamah Tinggi tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 9 Jan untuk perbicaraan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam dan peguam Lokman, Farhan Shafee masing-masing bersetuju untuk memfailkan jawapan relevan dalam masa 2 minggu.

Beliau juga berkata mahkamah hanya akan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk meminda dokumen bagi prosiding komital tersebut.

“Kami akan berurusan dengannya selepas 9 Jan,” katanya.

Lokman mencabar perintah pendakwa raya itu yang memohon beliau dipenjara kerana didakwa mengugut bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang menjadi saksi penting dalam perbicaraan 1MDB.

Pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram berkata Lokman cuba mengganggu pentadbiran keadilan.

Peguam itu yang dilantik mengetuai pendakwaan berkaitan 1MDB, berkata Lokman bukan sahaja membuat laporan polis terhadap Amhari, tetapi juga mengadakan temubual melalui video di mana beliau didakwa menyerang integriti peguam negara.

Dalam laporan polisnya, Lokman meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dan mendakwa Amhari kerana menerima wang daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.