Polis tembak 3 lelaki edar dadah, buat senjata api di Sabah

Siasatan polis mendapati 3 suspek berusia antara 30 dan 50 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pembuatan senjata api. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Tiga lelaki dipercayai warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan pembuatan senjata api, ditembak mati dalam operasi di Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan awal pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Zaini Jass berkata, Ops Laras yang disertai 80 anggota polis di 2 lokasi dilakukan pada 2.30 pagi semalam.

Katanya sebuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah yang dihuni 7 sekeluarga yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semasa melakukan pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, kedengaran bunyi sebuah motosikal menuju ke rumah tersebut dan setelah tiba di rumah berkenaan dan menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran rumah itu.

“Tiba-tiba suspek melepaskan satu das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan ke arah suspek untuk tujuan mempertahankan diri dan menyebabkan suspek meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zaini berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui 1 laras senapang buatan sendiri warna hitam mengandungi 1 kelongsong dan 6 butir peluru hidup serta 13 paket lutsinar berisi dadah disyaki syabu.

“Pemeriksaan terhadap rumah berkenaan juga menjumpai 2 laras senapang angin, sebilah parang dan 4 butir peluru, sepaket dadah seberat 1.35 gram, 1 alat penimbang elektronik serta 13 telefon bimbit,” katanya.

Pada masa yang sama, pasukan operasi kedua turut melakukan serbuan di sebuah lagi rumah yang terletak berhampiran rumah pertama.

“Semasa serbuan berkenaan suspek yang berada dalam rumah melepaskan beberapa das tembakan apabila menyedari kehadiran polis. Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan dan dalam kejadian berbalas tembakan itu 2 suspek terbunuh.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek menjumpai 2 pucuk senjata api jenis revolver Smith and Wesson 38 dan sepucuk pistol buatan sendiri.

Turut dirampas bersama kedua-dua suspek berkenaan adalah wang tunai RM2,376, mata wang Filipina 700 peso, 9 bungkus plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 800 gram,” katanya.

Zaini berkata, turut dirampas 2 laras senapang angin buatan sendiri, beberapa komponen senjata api, 7 butir peluru senapang patah dan 2 butir peluru pistol.

Beliau berkata, siasatan mendapati 3 suspek berusia antara 30 dan 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pembuatan senjata api.