Polis ulang rayuan bantu kesan saksi penting kes aktivis hilang

Saiful Bahari Abdul Aziz dikatakan pernah berkhidmat dengan pasukan polis sebelum ini.

PETALING JAYA: Polis hari ini sekali lagi memohon kerjasama orang awam dalam membantu mengesan saksi penting dalam kes kehilangan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat pada 2016.

Dalam satu kenyataan, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, mana-mana pihak yang mengenali Saiful Bahari Abdul Aziz diminta menghubungi Inspektor Wan Ahmad Zakiman Wan Ismail dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 di talian 03-22666071 atau 013-7117025.

Orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berdekatan.

Pada Ogos, polis membuat rayuan sama bagi mengesan Saiful Bahari yang dikatakan pernah berkhidmat dengan pasukan polis.

Amri, pengasas bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perlis Hope hilang sejak 24 Nov 2016.

Dalam siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan Amri sebelum ini, nama “Saiful Bahari” disebut sebagai pemilik sebuah kenderaan yang dilihat meninjau rumah Amri.

Menurut peguam Amri, David Morais, Saiful, yang merupakan orang awam yang bekerja dengan polis, berhenti pergi ke pejabat pada lewat 2017 dan menghilangkan diri tanpa sebarang jejak.

Suhakam dalam laporannya menyalahkan polis bahagian Cawangan Khas atas kehilangan Amri dan bertanggungjawab ke atas kehilangan seorang lagi individu, Pastor Raymond Koh pada Februari 2017.

Polis bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Amri dikatakan menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Isteri Amri, Nurhayatii Mohd Arifin dilaporkan berkata, 5 kenderaan menyekat kereta suaminya sebelum dibawa pergi kira-kira 500m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.