Protes di India selar RUU pelarian kecualikan umat Islam

Aktivis sebuah pertubuhan berpangkalan di Assam, Krishak Mukti Sangram Samiti (KMSS) melaungkan slogan ketika mengadakan tunjuk perasaan di Guwahati, semalam, bagi menentang RUU Pindaan Kewarganegaraan yang diluluskan Kabinet India. (Gambar AFP)

NEW DELHI: Parti Demokratik Sosial India (SDPI) mengadakan tunjuk perasaan di New Delhi pada Khamis bagi menentang Kabinet meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mengecualikan umat Islam daripada diterima sebagai pelarian dan menafikan kewarganegaraan kepada mereka, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Di bawah RUU Pindaan Kewarganegaraan yang diluluskan pada Rabu, kewarganegaraan akan diberikan kepada orang Hindu, Buddha, Sikh, Jain dan Parsi yang melarikan diri daripada penganiayaan agama, khasnya di Pakistan, Bangladesh serta Afghanistan dengan syarat mereka boleh membuktikan identiti diri dan tinggal di India selama 6 tahun.

Bagaimanapun, orang Islam yang berada dalam kedudukan sama akan dihantar pulang atau dipenjara.

Undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Banyak parti politik pembangkang India menentang RUU itu dan mendakwa kewarganegaraan tidak boleh diberikan atas dasar agama.

“Melalui RUU ini, kerajaan ingin melayan orang Islam sebagai warga kelas kedua di negara ini. Di sebuah negara demokratik seperti India, kewarganegaraan tidak boleh diberikan atas dasar agama,” kata Setiausaha Agung SDPI, Tasleem Rehmani dalam tunjuk perasaan itu.

SDPI dalam kenyataan sebelum itu berkata, RUU itu “isyarat jelas kepada orang Islam yang menetap di Bengal Barat supaya bersiap sedia dihumban ke kem tahanan. Atas dasar apa kita membuat kategori pelarian seperti itu? Tindakan ini jelas tidak mengikut perlembagaan.”

Rehmani berkata, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah gagal melakukan apa-apa untuk India.

“Mereka gagal dari segala segi dan dalam usaha menutup kegagalan mereka, mereka membuat keputusan sedemikian yang bertentangan nilai demokratik.”

Pembangkang yang terdiri daripada Parti Kongres, Kongres All India Trinamool, Parti Komunis India (Marxist) dan beberapa parti lain membantah RUU itu.

Parti Kongres mengancam untuk membawa RUU itu ke Mahkamah Agung. RUU itu turut menerima tentangan di timur laut India.