Pulau Pinang sedia tandatangan perjanjian utama berhubung projek 3 pulau

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia menandatangani 3 perjanjian utama dengan SRS Consortium.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan menandatangani 3 perjanjian utama minggu depan bagi melaksanakan projek 3 pulau seluas 1,821 hektar yang merupakan bahagian penting Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Beliau berkata, sebaik sahaja perjanjian itu ditandatangani, rakan kongsi penyampai projek, SRS Consortium Bhd, akan menyediakan reka bentuk dan pelan terperinci PTMP, termasuk berkaitan penebusan tanah, kereta api, jalan raya dan kerja berkaitan.

Selain reka bentuk terperinci, tender juga akan dibuka dan kontraktor dipilih sebaik perjanjian ditandatangani.

Chow berkata, perjanjian itu hanya boleh ditandatangani setelah semua kelulusan berkaitan diperolehi.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan menunggu penerbitan bon sukuk bernilai RM10 bilion dan jaminan kerajaan persekutuan ke atas bon tersebut.

“Kita akan buat keputusan tentang di manakah kita akan bermula bergantung pada pengaturan kewangan dan jaminan bon oleh kerajaan (pusat),” katanya pada satu sidang media di Komtar hari ini.

Chow berkata, paling utama ialah projek 3 pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI), diikuti dengan sistem pengangkutan aliran ringan Bayan Lepas (LRT) dan lebuh raya Link 1 Pulau Pinang (PIL1).

Landasan LRT berkenaan bernilai RM8 bilion dan akan dimulakan pada Jun tahun depan. Ia dijangka siap dalam tempoh 5 tahun.

Lebuh raya PIL 1 dianggarkan bernilai RM7.5 bilion.

Chow juga memaklumkan bahawa 27 kumpulan telah disenarai pendek untuk pertandingan pelan induk PSI. Sebanyak 24 konsortium menunjukkan minat mereka sebelum ini, katanya.

Dua pertiga daripadanya merupakan entiti dari luar negara.

Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Institut Arkitek Malaysia cawangan utara. Pemenang akan diumumkan pada Apr depan.

Beliau berkata, honorarium sebanyak AS$125,000 (RM520,000) akan dibayar kepada 5 kumpulan yang disenarai pendek. Kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk tujuan ini, selain kos pengendalian pertandingan berkenaan.

PSI merupakan projek kerajaan negeri bernilai RM46 bilion untuk menebus guna 3 pulau dan selepas itu menjualnya kepada pembida tertinggi bagi membina lebuh raya, landasan LRT dan kaedah pengangkutan lain.

Projek itu akan dilaksanakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat usaha sama antara Gamuda Bhd dengan firma pembangunan hartanah Pulau Pinang, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd.

The Edge Markets baru-baru ini memetik pengurus Urusan Gamuda Bhd Lin Yun Ling berkata, pakej pertama projek LRT Bayan Lepas akan dianugerahkan pada pertengahan 2020.